Rencana

Negara Malaysia impian saya – Oleh Dr Mazlyn Mustapha

NAMA saya Mazlyn binti Mustapha, saya adalah anak ketiga daripada lima adik-beradik perempuan. Arwah ayah saya adalah seorang jurutera aeronautik dan ibu saya seorang surirumah tangga yang bertungkus-lumus membesarkan kami lima beradik.

Saya lahir, membesar dan tinggal di Petaling Jaya. Ini adalah kampung halaman saya. Saya sering memperkenalkan diri sebagai seorang doktor, kerjaya yang saya tumpukan selama hampir 20 tahun, selepas menduduki peperiksaan SPM di MRSM Taiping dan melanjutkan pelajaran di Dublin, Ireland dan menetap di sana selama 11 tahun termasuk pengajian ijazah, bekerja dan seterusnya menduduki peperiksaan post-graduate.

Saya dan suami, yang juga seorang doktor, pulang ke tanah air pada 2007 untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang telah membiayai pengajian kami selama ini. Itulah matlamat kami sewaktu berdikari di perantauan.

Kami berkhidmat di HUSM di mana suami berpeluang meneruskan pengajian dan akhirnya menjadi pakar pembedahan plastik dan rekonstruktif. Kami mempunyai tiga anak, dua lahir di Ireland dan yang bongsu, lahir di Kelantan.

Jika melihat kepada minat, saya seorang yang sangat gemar menulis. Saya suka membaca buku, terutama dalam bahasa Inggeris, dan ini sedikit sebanyak memberi saya keupayaan untuk menulis dalam bahasa Inggeris dengan mudah tanpa perlu berfikir panjang. Hasilnya menarik ramai pembaca dan rakan baru di laman sosial Facebook.

Namun yang menjadi masalah utama saya, walaupun minat menulis, sangat susah bagi saya untuk mencari topik yang sesuai. Bidang kepakaran dan pengalaman saya seperti perubatan dan keibubapaan kurang menarik minat sendiri untuk menulis kerana tiada semangat sangat.

Sebelum 5 Mei 2013, saya langsung tidak berminat dan kurang mengambil tahu mengenai politik. Namun itu semua berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Saya sentiasa membayangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai, dengan rakyat yang berbilang bangsa dan hidup harmoni bersama. Bukan setakat itu sahaja, malah menjadi kawan akrab walaupun bangsa atau agama berlainan.

Saya mengimpikan Malaysia menjadi negara yang maju dan disegani di seluruh dunia. Seperti juga anda semua.

Namun apa yang amat menyedihkan ialah apabila negara gagal mendapat kerajaan baru pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Pada pendapat saya, sesuatu yang dahsyat berlaku dan bukan sahaja daripada segi keputusan pilihan raya, tetapi juga kata-kata yang dikeluarkan sesetengah pemimpin yang jelas menunjukkan sifat perkauman. Saya amat terkejut dan tidak menyangka keadaan boleh menjadi seteruk itu.

Rasa tertipu dan tidak puas hati sebagai rakyat biasa telah memberi saya semangat berjuang dan bahan tulisan yang saya tidak akan jemu menulis kerana ia adalah soal kebenaran. Sehingga Malaysia dapat mengamalkan sistem demokrasi yang benar-benar adil, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang benar-benar bebas dan pilihan raya yang telus dan diyakini oleh rakyat; saya tidak akan rasa senang.

Malaysia adalah negara yang kaya dengan sumber manusia dan sumber bahan asli. Kita mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat dunia kerana mempunyai rakyat yang berpendidikan dan infrastruktur yang baik. Namun begitu, ada sesuatu yang menjadi penghalang kepada semua ini, dan bagi saya ia adalah kerajaan dan polisi yang terlalu banyak membabitkan rasuah, penyelewengan dan kronisme.

Malaysia impian saya hanya akan tercapai jika lebih ramai rakyat mengambil berat mengenai politik dan berkecimpung dalam bidang ini untuk membawa perubahan.

Saya membuat keputusan untuk menjadi ahli parti politik. Semasa saya menimbang-nimbang parti politik mana yang ingin saya sertai, saya sering ditakutkan oleh seorang rakan yang berkata kononnya orang Cina ingin mengambil alih negara. Mendengar kata-kata itu saya langsung membuat keputusan untuk menjadi ahli DAP.

Saya amat beruntung kerana diperkenalkan kepada ahli DAP yang berwibawa oleh rakan di bidang perubatan. Saya dapat rasakan ini adalah keputusan yang baik dan peluang yang tidak akan saya sia-siakan supaya suatu hari nanti, anak-anak saya akan mewarisi Malaysia impian saya. – Roketkini.com

Untuk maklumat lanjut mengenai Impian Malaysia, layari laman web facebook.com/ImpianRakyatMalaysia