Berita

DAP gesa kerajaan bebaskan pasaran gula, henti monopoli syarikat tertentu

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendesak kerajaan membebaskan pasaran gula di Malaysia dengan membatalkan sistem perolehan gula mentah dan perlindungan kepada syarikat monopoli tertentu.

Beliau berkata, monopoli syarikat gula itu tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat, lebih baik pasarannya dibuka dan ditentukan melalui persaingan antara syarikat pengilang dan pembekal.

“Dengan penghapusan monopoli ini, rakyat akan menikmati harga gula lebih rendah.

“Syarikat gula pula akan menjadi lebih efisyen kerana tidak bergantung kepada kerajaan, ia juga boleh membantu kerajaan daripada mengambil sebarang risiko dalam pengimportan gula dengan harga yang lebih mahal,” katanya pada sidang media, di Lobi Parlimen, semalam.

Pasaran gula tempatan kini dimonopoli oleh dua syarikat iaitu Malaysia Sugar Manufacturers (MSM) dan Central Sugar Refinery (CSR) Bhd.

Pada sesi Parlimen pada 22 Mac 2012, Pua menyoal Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir mengapa kerajaan terpaksa membeli gula mentah bagi pihak pengilang gula tempatan.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, lebih baik jika risiko harga gula mentah ditanggung syarikat swasta dan kerajaan hanya perlu memberi subsidi tetap kepada kedua-dua syarikat itu untuk menjual mengikut harga yang ditentukan.

“Daripada soalan yang saya kemukakan, Mukhriz menyatakan bahawa pengilang ‘mempunyai ruang untuk membeli daripada pasaran terbuka sekiranya harga pasaran terbuka itu begitu rendah, mereka berpeluang tidak menggunakan kontrak jangka panjang (Long Term Contract) dan membeli terus daripada pembekal antarabangsa’.

“Jawapan Mukhriz itu memberi penjelasan mengapa MSM dan CSR dapat meningkatkan kadar keuntungan (Profit Margin) dengan begitu mendadak walaupun harga dan subsidi yang diberi adalah tetap.

“Dalam perbahasan Bajet 2014, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berhujah bahawa syarikat gula itu telah menikmati kadar keuntungan yang melonjak daripada 9 peratus kepada 15 peratus,” ujarnya.

Jelasnya, rahsia keuntungan yang diberi kepada dua syarikat monopoli itu amat mudah untuk difahami dan kerajaan tidak boleh berselindung mengenainya.

“Kerajaan telah membuat perjanjian kontrak jangka panjang mengimport gula mentah dengan kadar lebih tinggi daripada harga pasaran. Subsidi yang diperlu untuk mengekalkan harganya pada kadar tertentu ditentukan mengikut harga import gula mentah oleh kerajaan.

“Dengan harga yang ditetapkan kerajaan, MSM dan CSR dapat memperoleh keuntungan lumayan terutama jika harga gula mentah pasaran terjunam seperti yang berlaku sekarang.

“Tambahan lagi, jika harga gula mentah pasaran meningkat melebihi harga yang diimport kerajaan, keuntungan syarikat gula tempatan juga akan terjamin kerana dapat membeli gula mentah dengan harga US26 setiap 100lbs,” tegasnya. -Roketkini.com