Berita

Statistik jenayah keliru, Zahid Hamidi digesa letak jawatan

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan dengan segera kerana telah memberi jawapan yang mengelirukan di Dewan Rakyat berhubung statistik jenayah.

Beliau menerima jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2013 berhubung statistik jenayah daripada 2008 hingga 2013.

Bagaimanapun, katanya, statistik itu berbeza daripada apa yang dinyatakan Ahmad Zahid dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA) di Parlimen.

“Persoalannya sekarang, siapakah yang berbohong? Adakah angka ini berbohong atau menteri yang berbohong?

“Ini isu yang serius. Ini menunjukkan Zahid telah mengelirukan Dewan Rakyat dan rakyat dengan membekalkan jawapan tidak tepat. Kenapa jawapan yang diberi pada saya tidak sama dengan yang diucapkan selama ini.

“Jawapan sebegini membuktikan sikap tidak bertanggungjawab beliau dan saya mendesak beliau meletakkan jawatan dengan segera,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Teck Hwa turut mempertikai tindakan Zahid yang mencadang Rang Undang-undang PCA dalam keadaan data yang tidak selari.

“Adakah undang-undang ini dibawa ke Parlimen berdasarkan andaian beliau semata? Apakah ini cara kerajaan kita mentadbir negara?

“Mereka membuat cadangan rang undang-undang, meminda atau menggubal polisi berdasarkan andaian tapi bukan bersandarkan fakta serta data statistik yang kredibel,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga memohon Zahid mengemukakan penjelasan berhubung statistik yang tidak tepat itu.

“Ini bukan cara yang bagus dalam mentadbir sebuah kementerian. Zahid tidak harus tampil dengan pelbagai jawapan mengelirukan dan syok sendiri.

“Saya memohon dan menuntut Zahid agar memberi penjelasan. Rakyat ingin tahu siapa sebenarnya yang berbohong dan perlu bertanggungjawab dalam perkara ini” tegasnya. -Roketkini.com