Berita

Pengarah PEMANDU jadi ‘bos’ banyak syarikat, DAP minta penjelasan menteri

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER: DAP menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mendedahkan struktur bayaran gaji kepada Pengarah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) apabila beliau sendiri menyatakan kenaikan besar bayaran kepada jabatan itu sebanyak RM16.45 bilion telah ‘dikenalpasti’.

Ia termasuk bayaran bonus dan elaun yang diberi kepada kakitangan kontrak badan berkenaan.

Desakan ini dibuat demi kecekapan, produktiviti, ketelusan dan pengukuhan penjimatan dana awam apabila negara dikejutkan bahawa Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan sejumlah besar peruntukan perbelanjaan untuk membayar gaji kakitangan mereka.

Berikutan itu, Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dalam kenyataannya menuntut Idris Jala mendedahkan samada wujud mana-mana pengarah dalam PEMANDU yang turut menjadi pengarah dalam agensi kerajaan lain, anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta atau syarikat pegangan awam.

“Saya ingin membawa satu contoh seorang Pengarah PEMANDU, Mohamad Emir Mavani Abdullah yang bertanggungjawab menguruskan Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) bagi Perkhidmatan Kewangan, Minyak dan Gas tahun 2012 yang mana beliau juga kini adalah CEO dan Presiden Felda Global Ventures (FGV).

“Dalam prospektus FELDA, nama beliau dicatat sebagai Pengarah Pemandu dan syarikat FGV, beliau juga tersenarai sebagai CEO Malaysia Petroleum Resource Corporation (MPRC) di Jabatan Perdana Menteri dan bertugas sebagai ahli lembaga Malaysian Nuclear Power Corporation,” dedah Kian Ming.

Lebih mengejutkan, Emir Mavani juga disenaraikan sebagai pengarah dalam tujuh syarikat lagi iaitu Mega-Wan International Sdn Bhd, Sterling Advisory Services Sdn Bhd, Sanjung Impian Sdn Bhd, QPIC-Botree Technologies Sdn Bhd, EIM Systems Sdn Bhd, E&H Consulting Sdn Bhd dan FAHC.

“Beliau turut menerima 150,000 saham FGV. Kita minta menteri beri penjelasan bukan sekadar isu ini tetapi perbelanjaan membayar gaji semua kakitangan PEMANDU,” kata Kian Ming.-Roketkini.com