Berita

PAS menang DUN Sungai Limau

JERAI, 5 NOVEMBER: PAS berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau apabila menang dengan majoriti 1,084 undi. Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abdul Samat memperoleh 12,069 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazaim yang mendapat 10,985 undi.

Walaupun majoriti pemilih yang keluar mengundi pada kali ini merosot, kemenangan ini secara langsung membuktikan para pengundi teguh bersama PAS dan Pakatan Rakyat (PR) walaupun diasak dengan pelbagai ‘gula-gula’ dan umpan serta kempen fitnah dan jahat media kawalan UMNO sepanjang tempoh berkempen.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang dipetik media sebelum ini berkata, kemerosotan pemilih keluar mengundi kali ini kerana ia diadakan pada hari bekerja.

Sehingga waktu membuang undi tamat pada jam 5.00 petang, seramai 85.5 peratus (22,642 pemilih) telah menunaikan tanggungjawab mereka berbanding 27,222 pemilih yang tersenarai sebagai pengundi DUN itu.

DUN Sungai Limau merupakan kubu kuat PAS yang telah disandang oleh bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak sejak tahun 1995 lagi.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lalu, Azizan terus mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 2,772 walaupun bertembung dengan saingan empat penjuru.

DUN Sungai Limau merupakan kawasan majoriti Melayu dengan 93 peratus pemilih Melayu (25,365 pemilih), 6.7 peratus pemilih Cina (1,842) dan 0.6 peratus pemilih India dan lain-lain kaum.-Roketkini.com