Berita

DAP pertikai tindakan Kerajaan Johor bina Empangan Kahang tanpa kelulusan DEIA

KLUANG, 6 NOVEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mengkibol, Tan Hong Pin mempertikai tindakan kerajaan Johor yang memulakan pembinaan Empangan Kahang sebelum mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA).

Beliau berkata, berdasarkan laporan DEIA pada 25 Ogos lalu di Kluang, Johor Bahru dan Putrajaya, penilaian penuh hanya akan berakhir pada 17 November ini.

Menurutnya, pada 26 Oktober lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan projek pembinaan Empangan Kahang yang memakan perbelanjaan sejumlah RM105 juta akan dimulakan November ini.

“Setahu saya, Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru membentangkan laporan DEIA pada 25 Ogos lalu. Laporan DEIA ini dipamerkan di Kluang, Johor Bahru dan juga Putrajaya untuk pembacaan serta maklum balas awam.

“Jabatan Alam Sekitar juga menetapkan 17 November ini sebagai tarikh tutup untuk penilaian laporan DEIA.

“Jadi, pembinaan empangan yang kononnya akan bermula pada November ini adalah tidak benar melainkan pihak kerajaan sengaja menyalahi undang-undang dan memulakan kerja pembersihan tapak iaitu menebang kayu kayan sebelum laporan diluluskan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Kebangsaan DAPSY turut menyanggah kenyataan Khaled Nordin yang mendakwa tidak ada sebarang tanah akan diambil untuk kegunaan pembinaan empangan itu.

“Menurut para 4.1.8 laporan DEIA pembinaan jalan masuk sepanjang 2.5km ke kawasan empangan akan membabitkan tanah seluas 10 hektar yang berhampiran dengan Felda Kahang Timur.

“Kenyataan Khaled bahawa tiada pengambilan tanah akan dilaksanakan adalah sangat mengelirukan dan saya meminta beliau memberikan penjelasan atas perkara ini.

“Sekiranya pengambilan tanah perlu dijalankan untuk projek, saya berharap tuan tanah dimaklumkan segera. Pihak kerajaan juga perlu berunding dengan mereka sebelum tanah mereka diambil dan pampasan sewajarnya harus dibayar,” ujarnya.

Pada masa sama, Hong Pin turut curiga berhubung pembinaan empangan itu yang didakwa dibina untuk menyelesaikan masalah banjir di Kluang.

“Perlu ingat kawasan yang dipengaruhi projek pembinaan Empangan Kahang hanya beberapa perkampungan termasuk Kampung Gajah di bahagian hilir Sungai Kahang dan bandar Kluang tidak berada dalam kawasan pengairan Sungai Kahang.

“Saya berpendapat bahawa usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah masih tidak mencukupi dan lambat, kerajaan harus melipatgandakan usaha menyelesaikan masalah banjir tetapi bukan mengalihkan tumpuan awam terhadap isu ini.

“Kerajaan perlu meneliti dan mendapatkan maklum balas yang menyeluruh sebelum memulakan projek pembinaan Empangan Kahang yang mempunyai impak yang besar dan mendalam,” tegasnya. -Roketkini.com