Rencana

BELEK – Drama Deepavali

belekBELEK punya belek beberapa portal berita hari ini, terjumpa satu berita. FMT melaporkan Perkasa akan mengadakan rumah terbuka sempena perayaan Deepavali.

Perkasa yang merupakan satu pertubuhan ultra kaum menganjurkan majlis meraikan perayaan kaum lain ini bukan suatu yang baru, Kita masih ingat insiden lucu angpau putih dalam perayaan Tahun Baru Cina anjuran Perkasa satu masa dahulu.

Sambutan ini dikatakan untuk menunjukkan bahawa Perkasa bukanlah sekumpulan manusia yang bersikap perkauman. Ini juga bukan sesuatu yang baru. Kita sudah pernah melihat Presiden UMNO turun menggaul Yee Sang, berlakon main gendang sempena Tahun Baru Cina. Kemudian orang yang sama menunjukkan sokongan padu terhadap lidah parti UMNO, Utusan yang dengan angkuh pernah bertanya, “Apa Cina Mahu?”.

Orang kuat Perkasa, Pak Brahim Ali kata tiada parti politik yang dijemput termasuk MIC. Sebaliknya hanya geng-geng MIRAC saja yang akan berucap. Bagi yang belum tahu MIRAC ini adalah singkatan kepada Malaysian Inter-racial NG0s Council. Gabungan yang terdiri daripada Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam) dan satu pertubuhan yang entah daripada mana munculnya, 1Malaysia Chinese Association (Percisama). Gabungan tiga pertubuhan berdasarkan kaum, dikepalai pertubuhan seperti Perkasa, macam kenal bukan? Tiada yang baru.

Jadi apakah yang janggal dengan berita rumah terbuka Deepavali Perkasa? Itulah kejanggalannya, tiada yang baru! Rakyat Malaysia terus hidup dengan drama keharmonian kaum mengikut acuan politik Barisan Nasional (BN). Drama lama yang lebih drama daripada drama Love You Mr Arrogant!

Kumpulan daripada kaum berbeza dengan agenda kaum masing-masing bergabung namun pertubuhan yang mengepalainya boleh terus mempamerkan betapa ‘gedebe’nya mereka memperjuangkan kaum mereka.

Kemudian sekali-sekala tunjukkan keharmonian dengan menyambut perayaan bersama-sama. Atau beritahu kepada khalayak bahawa mereka akan meraikan perayaan kaum tertentu bagi menunjukkan mereka tidak perkauman. Sampai bilakah kita akan terus jadi penonton drama sebegini sekalipun jenaka Pak Brahim memang ‘berkualiti’ dan seringkali buat kita tidak kering gusi?