Berita

“Saya doakan Mahathir hidup hingga 100 tahun, untuk saksi berakhirnya Mahathirisme” – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 9 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memang mahu karier politiknya ‘mati’ sebab itu menjalankan misinya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan berkempen untuk mengalah dan menguburkan karier politiknya di Gelang Patah.

Bagaimanapun, katanya, beliau berdoa semoga Mahathir akan hidup sehingga 100 tahun untuk menyaksikan kemerosotan dan berakhirnya Mahathirisme.

“Pada PRU-13 lalu, Mahathir menyeru rakyat Johor mengerahkan tenaga bagi memastikan Johor menjadi “kubur” saya dan seruan itu diberi sambutan hangat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan bahawa saya “terperangkap” di Gelang Patah dan kerjaya politik saya telah “tamat”.

“Persaingan di Gelang Patah pada PRU-13 adalah pertempuran politik “hidup dan mati” saya kerana berdepan bukan saja dengan Datuk Abdul Ghani Othman yang ketika itu Menteri Besar selama empat penggal, tetapi juga terpaksa berdepan dengan tiga lagi orang kuat UMNO iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Muhyiddin dan Mahathir sendiri, bekas Perdana Menteri yang paling lama memegang jawatan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau sedia mempertaruhkan nasib, meninggalkan kerusi Parlimen selamat, Ipoh Timur, yang dimenangi pada 2008 dengan majoriti lebih 21,000 undi, untuk bertanding di Gelang Patah yang dimenangi MCA/BN dengan majoriti hampir 9,000 undi pada 2008 dan 21,666 undi pada 2004.

“Saya berterimakasih kepada ahli parti, penyokong dan semua pihak yang mendoakan kejayaan saya pada malam 5 Mei lalu. Menerusi lawatan saya ke seluruh negara beberapa bulan lalu, saya dapati mereka bimbang tentang kedudukan Parlimen Gelang Patah ketika PRU-13 dan tidak menjangka sama sekali keputusan itu yang menggantungkan sepenuhnya masa depan politik saya kepada pengundi Gelang Patah.

“Pada malam 5 Mei lalu, Mahathir kalah dan saya menang. Saya membuktikan Mahathir melakukan kerana bermain politik rendah yang jelek dan tidak bermoral apabila menyebarkan pembohongan dengan mendakwa saya bertanding di Gelang Patah untuk meninbulkan ketegangan antara kaum Cina dan Melayu dan saya mahu Cina membenci Melayu dan menolak kerjasama dengan Melayu,” katanya.

Menurut beliau, sedangkan hakikat sebenar sepanjang kempen beliau menggesa semua pengundi, tanpa mengira kaum, untuk bekerjsama sebagai satu bangsa Malaysia untuk mengejar Impian Malaysia dan menyokong Pakatan Rakyat sebagai pakatan politik pelbagai kaum dan agama yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.

Beliau berkata, dalam semua ceramah di Gelang Patah selama tiga minggu kempen pilihan raya, beliau bertegas mahu menang bukan saja dengan undi Cina, tetapi juga dengan sokongan Melayu dan India.

“Saya lega pada malam keputusan pilihan raya kerana menang di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14,000 undi, terbukti bahawa orang Melayu di Johor tidak mudah menjadi mangsa pembohongan Mahathir yang mahu mewarnakan kempen Gelang Patah dengan unsur perkauman.

“Kegagalan Mahathir pada PRU-13, khususnya di Gelang Patah, Shah Alam dan Pasir Mas, yang mempertaruhkan seluruh reputasi politiknya adalah petanda kuasa dan pengaruh Mahathir dan Mahathirisme tidak lagi sehebat dan seperkasa yang cuba ditonjolkan.

“Sebenarnya, ada beberapa tanda awal kemerosotan itu, misalnya kegagalan Mahathir pada 2006 untuk menjadi perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO. Rentetan daripada itu beliau keluar daripada UMNO dan berkempen untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kegagalan Mahathir di Gelang Patah, Shah Alam dan Pasir Mas pada PRU-13 adalah petanda pertama daripada tiga petanda penting kemerosotan pengaruh Mahathir dan Mahathirisme sejak enam bulan lalu.

“Dua lagi petanda ialah kegagalan anak beliau, Datuk Mukhriz Mahathir, untuk merebut satu daripada tiga jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan UMNO bulan lalu, walaupun Mahathir menyalahkan politik wang sebagai punca kekalahan Mukhriz dan kegagalan untuk membawa kemenangan kepada Muhkriz sebagai Menteri Besar Kedah pada Pilihan Raya Kecil Sungai Limau (kawasan yang termasuk dalam Parlimen Kota Setar Selatan yang Mahathir adalah Ahli Parlimennya pada tahun 1964 hingga 1969) walaupun beliau turun berkempen di sana,” katanya.

Menurut Kit Siang, kerana menyedari kemerosotan pengaruhnya, Mahathir menunjukkan kekecewaan dengan menulis dalam blog beliau bahawa saya takut pada “bayang” beliau dan bertanya: “When will Kit Siang retire? When he is dead?” (Bila Kit Siang hendak bersara? Setelah mati?).

Katanya, rakyat Malaysia sepatutnya lebih bimbang dengan kesan buruk daripada Mahathirisme – warisan Mahathir setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

“Kesan buruk Mahathirisme paling besar ialah apabila Mahathir sendiri meminggirkan Wawasan 2020 dan dasar Bangsa Malaysia beliau (selain dasar 1Malaysia Najib) dengan menjadi Godfather gerakan Ku Klux Klan Malaysia yang sarat dengan khutbah memecah-belah dan politik kebencian dalam menjuarai ketuanan kaum, bukannya ketuanan bangsa Malaysia.

“Ini melebarkan jurang perkauman dalam sejarah Malaysia. Kesan buruk Mahathirisme yang lain ialah terjejasnya kebebasan badan kehakiman dan prinsip kedaulatan undang-undang, merosotnya keyakinan pihak di dalam dan luar negeri terhadap kecekapan, mutu, profesionalisme dan integriti institusi negara yang utama, kemerosotan sistem pendidikan yang dulunya bertaraf antarabangsa baik di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi, dan berleluasanya korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa di jabatan politik tertinggi.

“Mahathirisme akan terus memberi kesan buruk kepada Malaysia dan tidak akan membantu negara ini mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara yang rakyatnya bersatu, berjaya, dan berdaya saing di peringkat dunia,” ujarnya.

Bagi menjawab pertanyaan “Bila Kit Siang hendak bersara? Setelah mati?”, Kit Siang memetik kata-kata terkenal Wen Tianxiang, seorang sarjana dan panglima Dinasti Sung, untuk direnung oleh Mahathir: “Semua manusia akan mati, tetapi kesetiaanku akan menyinari catatan sejarah selama-lamanya.”

Katanya, untuk makluman Mahathir, “kesetiaan” yang saya maksudkan di sini adalah kesetiaan kepada Malaysia.-Roketkini.com