Berita

Karpal, Anwar mohon status laporan polis mengenai “Surat Misteri Anwar”

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER: Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguam mereka memohon makluman status berkenaan satu laporan polis yang dibuat pada 4 Ogos lalu.

Ia membabitkan dakwaan fitnah calon UMNO-Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Mazlan Ismail pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu yang mengaku menerima lapan muka surat maklumat dengan 6,000 salinan daripada orang yang tidak dikenali ke rumahnya mendedahkan maklumat beberapa bank dan amaun akaun milik Anwar Ibrahim.

Dakwaan yang dilaporkan dalam siaran berita TV3 edisi jam lapan malam pada 2 Ogos lalu itu juga memetik calon BN itu mengatakan orang yang memberinya maklumat itu mahu mendedahkan bahawa Anwar telah membayar lebih RM50 juta melalui cek kepada Karpal sejak 2008.

Dia juga mendakwa sebahagian amaun itu bertujuan merasuah hakim dan pendakwa raya.

Tuduhan yang salah itu dilaporkan Utusan Malaysia pada muka utama bertarikh 3 Ogos 2013 bertajuk “Surat Misteri Anwar” dan akhbar New Straits Times berjudul “Mazlan gets 6,000 letters about Anwar – alleged to have paid RM50m to Karpal”.

Permohonan status report itu dihantar melalui surat yang dialamatkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya melalui firma Guaman Karpal Singh & Co bertarikh 11 November 2013.

Ia antara lain merujuk kepada Seksyen 107A(2) yang mewajibkan pihak polis membekalkan status report dalam masa tidak lebih dua minggu selepas penerimaan surat permohonan itu.-Roketkini.com