Berita

Ahli Parlimen PR kecam Dewan Rakyat lulus usul gantung Surendran enam bulan

KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER: Persidangan Dewan Rakyat hari kecoh menyaksikan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) membantah usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri untuk menggantung Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N Surendran.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) bangun membantah bacaan usul itu dan mendesak Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee supaya menarik balik dengan berulang kali jeritan “tarik balik”.

Antara Ahli Parlimen PR yang membantah ialah Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen PKR Gombak, Mohamed Azmin Ali, dan Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo.

Mereka melaungkan perkataan dengan perkataan ‘usul haram’ dan ‘tarik balik’ sambil menepuk meja ketika usul itu dibacakan.

Azmin pula bertindak merenyukkan kertas usul berkenaan sambil menunjukkan kepada Timbalan Speaker.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker akhirnya membuat keputusan menggantung Surendran daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan berkuatkuasa hari ini kerana menghina Speaker dan Dewan Rakyat.

Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas Ahli Parlimen BN Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar dengan sokongan berbelah bahagi selepas lebih sejam sidang Dewan Rakyat terganggu dengan bantahan Ahli Parlimen PR.

Usul itu lulus dengan 92 Ahli Parlimen BN menyokong, manakala selebihnya tidak mengundi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membantah keputusan itu dan mendakwa Parlimen diperalatkan UMNO dan BN.

Beliau mendakwa penggantungan itu tidak mengikut peraturan Dewan kerana dengan begitu mudah menggantung seorang Ahli Parlimen kerana perkara yang tidak disenangi mereka, sedangkan siasatan tidak dilakukan.

“Inilah cara UMNO mengendalikan Parlimen dengan memperbodohkan sistem dengan tidak mengikut peraturan,” katanya.

Selasa lalu dan hari ini, Surendran dihalau keluar Dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana membangkitkan usul berkaitan perobohan Kuil Sri Muneswarar Kaliamman.- Roketkini.com