Berita

Angkara Ahli Parlimen BN, Parlimen Malaysia dipalit noda memalukan

KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER: Dua kejadian yang memalukan Parlimen Malaysia berlaku di Dewan Rakyat pada Khamis, 14 November lalu yang semuanya adalah angkara Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Kejadian pertama berlaku pada sesi pagi persidangan apabila BN tidak mempedulikan peraturan mesyuarat dan menggunakan kelebihan kerusinya di Parlimen untuk meluluskan usul luar biasa, yang tidak wajar dan ‘haram’ untuk menggantung Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N Surendran selama enam bulan kerana memperjuangkan kuil Sri Muneswarar Kaliyamman di Kuala Lumpur yang berusia 101 tahun.

Insiden kedua yang mengaibkan Parlimen Malaysia pula berlaku pada tengahari apabila persidangan disabotaj menerusi tindakan membalas dendam terhadap apa yang terjadi pada sesi pagi yang tiada kena mengena dengan keadilan, integriti prosedur Parlimen atau hak rakyat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, usul menggantung Surendran itu melanggar Peraturan Mesyuarat dan kelaziman Parlimen sekurang-kurangnya mengikut empat asas iaitu Pertauran Mesyuarat 27 (3) yang mensyaratkan seperti Peraturan Mesyuarat 43 dan perenggan (5) dalam Peraturan Mesyuarat 86 dan 26(1), iaitu apa-apa usul hendaklah diberitahu tidak kurang daripada empat belas hari tetapi jika usul itu dengan nama Menteri, maka memadailah dengan hanya tujuh hari, dan jika Yang di-Pertua puas hati dengan keterangan Menteri bagi faedah orang ramai bahawa usul itu mustahak dibahaskan segera maka memadailah dengan notis dikeluarkan satu hari.

Memandangkan pengecualian yang disebutkan dalam Peraturan Mesyuarat 43, 86, dan 26 terpakai untuk kes ini, usul menteri untuk menggantung Surendran memerlukan “tujuh hari dan jika Yang di-Pertua berpuas hati dengan keterangan memadai dengan satu hari terlebih dahulu.

Oleh itu, katanya, penggantungan Surendran selama enam bulan itu adalah bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat dan kelaziman Parlimen menurut empat asas berikut:

1. Ia tidak mematuhi peraturan yang menetapkan “pemberitahu satu hari” untuk usul menteri, kerana jika “satu hari” ditafsirkan sebagai “24 jam” maka usul itu hanya boleh dibahaskan selepas jam 6 petang pada Khamis lalu, kerana notis diberi kepada Ahli Parlimen selepas jam 6 petang pada Rabu.
2. Tiada “kepentingan umum” yang mengharuskan usul itu dibahaskan selepas notis satu hari diberi, bukannya selepas notis tujuh hari. Malah, sehingga sekarang tiada menteri menjelaskan “faedah orang ramai” yang bagaimana memestikan perbahasan dan keputusan dibuat tanpa mematuhi peraturan apa lagi memutuskan tanpa mematuhi notis satu hari.

3. Pertembungan kepentingan yang jelas kerana Speaker membenarkan usul itu dibahaskan tanpa notis tujuh hari memandangkan usul itu mendakwa Surendran “menghina” Speaker.

4. Prosedur yang sepatutnya diikuti dalam kes ini ialah merujuk Surendran kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana ia membabitkan “kuasa serta hak dan keistimewaan Dewan”, dan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan perlu menyiasat dan mengemukakan laporan kepada Dewan mengenai dakwaan yang dibuat terhadap Surendran.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kenyataan Pengerusi bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker boleh menggunakan Peraturan Mesyuarat 43 untuk mengemukakan usul supaya keputusan itu disemak semula menerusi notis tidak lebih dua hari kerana dalam sejarah Parlimen Malaysia usul sedemikian tidak pernah dibenar untuk dibahas.

Katanya, kerana itu tiada seorang pun Ahli Parlimen Pakatan Rakyat memanfaatkan Peraturan Mesyuarat 43 ketika sesi pagi kerana Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia secara tidak benar mengarahkan Surendran keluar Dewan dengan alasan masih digantung.

“Ini bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 44 (2) yang jelas menyebut bahawa apabila Speaker belum menentukan tempoh penggantungan seseorang Ahli Parlimen, “tempoh itu hendaklah disifatkan sebagai selama dua hari termasuk hari kejadian berkenaan.

“Penggantungan Surendran pada pagi Selasa (12 November) dan Speaker tidak menyebut tempoh maka penggantungan selama dua hari pada Selasa dan Rabu serta tidak pada Khamis bermakna, tindakan Speaker mengusir Surendran keluar dewan pada Khamis adalah salah dan bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, dakwaan akhbar (New Straits Times) bahawa Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo dan beliau menghalau Pandikar Amin dari Dewan kerana menuntut penjelasan tindakan mengarahkan Surendran keluar Dewan pada pagi itu.

Katanya, laporan itu sama sekali tidak berasas, kecuali khayalan wartawan, menunjukkan betapa rendahnya piawaian profesional dalam negara ini dalam pelbagai bidang kerjaya – termasuk media massa, walaupun sudah lebih setengah abad negara ini merdeka.

“Saya bersama-sama beberapa pemimpin PR yang lain, termasuk Azmin Ali (PKR Gombak) dan Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) menyarankan kepada Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee agar menangguhkan persidangan bagi membolehkan kedua-dua pihak mencari penyelesaian yang saksama bagi merungkai kebuntuan dan mententeramkan Dewan, samada dalam bentuk pemberian notis tujuh hari atau merujuk Surendran kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, atau membenarkan usul menurut Peraturan Mesyuarat 43 untuk menyemak semula keputusan Pengerusi dibahaskan .

“Bagaimanapun, Timbalan Speaker enggan menangguhkan persidangan untuk memberi “tempoh bertenang” bagi membolehkan kesepakatan dibuat oleh kedua-dua pihak dalam Dewan bagi mengatasi kebuntuan.

“Sebaliknya Dewan dan negara disajikan dengan adegan lawak jenaka apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukry membacakan ucapan usul itu walaupun tiada siapa dapat mendengar kerana tenggelam dalam kegamatan Dewan,” katanya.

Menurut Kit Siang, adegan itu disambung dengan sesi undian yang juga merupakan lawak jenaka kerana tiada Ahli Parlimen, sama ada daripada BN atau PR, dapat mendengar apa yang diusulkan menteri itu.

Katanya, kerana itu Ahli Parlimen PR enggan mengambil bahagian dalam pengundian, kerana usul itu bukan saja luar biasa dan tidak wajar, malah “haram” sehingga beberapa Ahli Parlimen PR melepaskan rasa marah dan kecewa mereka secara beremosi dengan mengoyakkan kertas usul berwarna hijau itu.

Beliau berkata, pemimpin PR tidak bersetuju tindakan mengoyak kertas usul itu tetapi ia berlaku secara mendadak kerana kecewa apabila keadilan dinafikan serta peraturan mesyuarat dan kelaziman Parlimen diabaikan dalam meluluskan usul untuk menggantung Surendran selama enam bulan yang menjadikan Parlimen Malaysia sebagai mahkamah kanggaru dan bahan jenaka dunia.

Ahli Parlimen BN, diketuai Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), juga menjalankan konspirasi untuk menimbulkan kekecohan, dengan mengoyak usul Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh untuk memotong gaji lima penasihat khas Jabatan Perdana Menteri, iaitu Rais Yatim, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Johari Baharom dan Hasbi Habibollah kerana mendakwa usul itu “usul haram” kerana satu kesilapan fakta dalam ucapan.

“Jika Ahli Parlimen BN menganggap usul Fuziah “haram”, mereka sepatutnya mencontohi tindakan Ahli Parlimen PR pada sesi pagi yang menolak mengambil bahagian dalam pengundian dan membenarkan Ahli Parlimen PR menyokong usul itu.

“Bagaimanapun, tujuan mereka berlainan iaitu mensabotaj persidangan Parlimen dengan tidak membenarkan usul Fuziah dibahaskan.

“Atas sebab itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas waktu makan tengahari mengemukakan usul supaya Dewan bersurai lebih awal, iaitu sebaik saja usul Fuziah diketepikan, bukannya jam 5.30 petang seperti biasa kerana sudah mengetahui dan membenarkan tindakan sabotaj terhadap usul Fuziah,” katanya.

Kit Siang berkata, dua kejadian berpunca daripada Ahli Parlimen BN itu menunjukkan sikap kebudak-budakan mereka yang sanggup mengambil tindakan kasar untuk membalas dendam terhadap Ahli Parlimen PR tanpa mempedulikan samada salah atau benar sesuatu isu dan tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.-Roketkini.com