Rencana

Perwakilan PAS usah jadi ‘sokong bawa rebah’ – Oleh NJ

SOKONGAN UMNO, badan bukan kerajaan (NGO) dan akhbar arus perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian yang berkempen bagi memastikan golongan ulama memenangi jawatan penting yang ditandingi pada Muktamar PAS ke-59 sebenarnya ada ‘udang di sebalik batu’.

Mereka sebenarnya tidak mahu parti dalam Pakatan Rakyat (PR) terus bersepakat dan dan menjalinkan hubungan lebih erat kerana bimbang PR akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekaligus menawan Putrajaya.

Sebab itu mereka sekarang memainkan peranan untuk memecahkan persefahaman dan kerjasama antara PAS, DAP dan PKR.

Oleh itu, tidak ada sebab bagi perwakilan PAS pada Muktamar PAS ke-59 untuk mempercayai tindakan pemimpin UMNO dan Jalur Tiga (Jati) yang dipengerusikan bekas Naib Presiden PAS yang dipecat, Datuk Dr Hasan Ali yang menyokong golongan ulama untuk memenangi pemilihan PAS itu.

Hakikatnya mereka yang menyokong ulama itu mahu melihat perpaduan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS berpecah-belah dan bersengketa bagi memudahkan laluan UMNO/BN untuk kekal memerintah negara.

Kekuatan tiga parti dalam PR – PAS, DAP dan PKR sekarang ini boleh dikatakan seimbang malah semakin kuat sehingga membuatkan UMNO/BN rasa tergugat sebab itu sedang berusaha memecah-belahkan PR.

Sekarang ini, media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian serta TV3 hampir setiap hari memainkan peranan memburukkan DAP, termasuk isu kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh dan masih mempertikai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

UMNO/BN juga sedang melaga-lagakan kalangan pemimpin ulama dan profesional dalam PAS.

Haram lagakan ulama dan profesional

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Abdul Hadi Awang juga sudah mengingatkan perwakilan PAS agar tidak melaga-lagakan antara pemimpin ulama dan profesional kerana itu dianggap perbuatan haram.

UMNO/BN tidak akan senang duduk selagi parti dalam PR itu tidak berpecah kerana melihat peluang untuk mereka kekal memerintah semakin tipis dan tergugat.

PAS, DAP dan PKR memiliki kekuatan tersendiri, cuma kegagalan PR memerintah pada PRU-13 lalu mungkin kerana silap percaturan sedangkan sokongan rakyat terhadap parti berkenaan semakin kuat.

Berdasarkan penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan  pembaziran wang rakyat yang dilakukan, UMNO/BN sepatutnya ‘sudah tersungkur’ kepada PR pada PRU-13 lalu.

Akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, yang menjadi balaci UMNO/BN juga membesarkan berita mengenai kemarahan PAS Pulau Pinang yang mendakwa kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminggirkan parti Islam itu dan tidak menghargai usaha dan sumbangan mereka dalam memastikan PR terus kekal relevan di kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu.

Tidak susah untuk meneka, bahawa sikap Utusan yang memainkan peranan bagi pihak UMNO selaku musuh politik PAS, tidak mahu PAS menjadi parti alternatif kepada orang Melayu dan pesaing rapat UMNO.

UMNO menyokong ulama menerajui kepimpinan PAS kerana mereka mahu PAS hanya disertai, didukung dan disokong oleh satu kelompok sahaja dan tidak dapat berkembang dan mengatasi UMNO sebagai parti nasional.

Sebaliknya pemimpin PAS yang dapat diterima pelbagai kaum dan agama serta kukuh mempertahankan kerjasama PR akan menjadi musuh Utusan Malaysia dan UMNO.

Kepimpinan PAS yang memperlihatkan kombinasi mantap di antara golongan ulama dan profesional adalah suatu “igauan ngeri” kepada UMNO.

Kerjasama PAS dalam PR menguntungkan, hampir tumbangkan BN

UMNO dan Utusan Malaysia melalui risikan strategik amat sedar hakikat itu, jadi tidak hairan jika mereka bekerja kuat untuk mempengaruhi pemikiran ahli PAS dengan mewujudkan suasana cemas kononnya PAS sudah tersasar daripada perjuangan Islam kerana ramai pemimpin PAS begitu keterlaluan mempertahankan PR berbanding perjuangan PAS.

Atas alasan itu UMNO cuba mempengaruhi ahli PAS supaya kepimpinan parti itu dikuasai sepenuhnya oleh ulama.

Mereka (UMNO) turut berkempen bagi mengalahkan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS sebab itu kuat berkempen bagi memenangkan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Begitu juga dalam perebutan jawatan Naib Presiden PAS yang menyaksikan saingan antara tiga penyandang iaitu Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar yang ditentang dua pemimpin ulama iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abu Bakar Chik.-Roketkini.com