Budaya

Sisi lain sebuah perjalanan – Aliff Fikri

SAYA sebenarnya kurang menggemari perjalanan. Tidak kira berapa banyak tekanan yang datang, saya sebolehnya akan menghindari kegiatan ini. Perjalanan hanya membuatkan saya mengantuk, penat dan akhirnya lemas.

Perjalanan walau dalam cuaca sejuk sekalipun amat memanaskan tapi bukan bermakna saya sinis dan menganggap perjalanan itu tidak membawa sebarang erti.

Perjalanan adalah terapi, seperti usaha untuk menguatkan keberanian, menyabung nasib dan mempertaruhkan sesuatu pada perkara yang belum pasti. Perjalanan, bagi sesetengah orang adalah upaya untuk menjadi dewasa.

Seperti hari ini, ketika bangun pagi saya harus melakukan perjalanan dari bilik tidur ke tandas. Ini masalah pelik, menuju ke tandas bermakna saya harus berdiri dan membuka pintu bilik dan menuju ke sana. Perjalanan dan pekerjaan ini amat berat dan membosankan. Terpaksa bangun, menyelak selimut, membuka tingkap dan lantas menuju ke tandas yang jaraknya kira-kira enam meter.

Untuk melakukan kegiatan di pagi hari pada saya adalah amalan yang menyakitkan hati terutama jika saya memilih untuk tidur agak lambat sekitar dua atau tiga pagi.

Sebagai manusia kita tercabut dalam dua momen: terang pagi dan gelap malam. Manusia dipaksa untuk beraktiviti di pagi hari sementara malam digunakan untuk tidur. Dalam banyak peradaban, masyarakat Inca di Peru percaya gelap adalah simbol kejahatan dan misteri, manakala terang adalah simbol pencerahan, penciptaan dan kedamaian.

Oleh itu pagi atau siang hari merupakan kegiatan paling penting dalam hidup manusia. Tapi saya tidak pernah setuju dengannya, pagi terlalu sejuk dan menyilaukan untuk saya bangun daripada katil dan bersiap melakukan kerja.

Mungkin kita perlu belajar daripada golongan ibu di Republik Dominican bagaimana cara sebetulnya memulakan pagi. Pada bulan-bulan awal selepas melahirkan bayi, ibu ini akan tetap berada di rumah ketika pagi hadir.

Mereka begitu sibuk menyembunyikan anak selepas jam 6 pagi kerana mereka percaya di saat itulah makhluk jahat seperti raksasa, hantu, jembalang dan roh kejam akan mengganggu tidur bayi mereka.

Namun, jika terpaksa juga untuk keluar daripada rumah, ibu ini akan melindungi seluruh tubuh bayi mereka dengan tudung gelap dan segala tangkal penolak bala.

Berbalik pada diri saya, saya merasakan bahawa saya adalah bayi yang harus dilindungi daripada kejahatan ini dan sekali lagi saya katakan, pagi terlalu menyilaukan untuk bayi besar seperti saya bergerak dan bangun melakukan apa jua aktiviti, saya sendiri masih bingung siapakah yang menetapkannya.

Saya tidak keberatan untuk tetap membaringkan diri dalam tempoh berapa lama sekalipun di atas katil, kalau boleh sehingga seminggu. Namun keinginan untuk membuang air kecil atau besar terlalu mengeletek diri dan membuatkan saya terpaksa bangun. Jika saya memaksa diri untuk menahan daripada membuang air tentu saya tidak lagi dapat menikmati puncak kenikmatan hakiki iaitu nikmat membuang dan tidak lagi menahannya.

Secara tidak langsung ia menyebabkan saya terbebas daripada beban yang mengikat ulu hati, mengganggu waktu tidur dan tentunya merosak keenakan tidur yang sekian lama saya dambakan. Untuk itu saya harus menuju ke tandas atau dalam bahasa sopannya bilik air meskipun pada akhirnya terpaksa melewati tompokan nota, buku, cd, kotak berisi majalah dan kaset lama, gambar bekas kekasih yang belum saya buang. Dan terpaksa berkeringat dengan sinaran cahaya pagi yang muncul di celah tingkap rumah. Silau sekali.

Dicelahan terik silau cahaya pagi itu muncul sekelumit angin yang menghembus membuatkan kulit saya kesejukkan. Perlahan-lahan saya melangkahkan daripada mozek lantai menuju ke pintu bilik. Pekik kicau burung di luar yang menenangkan sedikit melupakan saya keperitan pagi.

Tapi mata saya masih mengantuk. Setelah bersusah payah bangun dan berdiri daripada katil yang melenakan itu, saya terus berjalan ke depan iaitu ke syurga yang belum dieksploitasi oleh pakar pembangunan berkepala wang ringgit, tandas rumah saya ini merupakan ‘spot’ terbaik untuk melampiaskan sisa buangan dalam perut.

Tidak ramai orang yang menggunakan tandas ini, hatta kawan serumah saya sekalipun. Jadi ini adalah kesempatan terbaik untuk saya menjadi orang pertama menggunakannya hari ini, sebelum orang lain datang menikmatinya.

Perkara ini mengingatkan saya tentang tandas di rumah saya di kampung. Ibu saya menawarkan pakej bilik tidur dan tandas termasuk fasiliti seperti kipas serta beranda. Tapi pakej ini hanya dapat dinikmati berhari-hari jika saya memilih untuk menetap di kampung.

Pada saya promosi menarik ini hanya pilihan kebebasan sementara kerana apabila meningkat dewasa saya harus berhijrah demi kerja atau pendidikan.

Ini jelas menyatakan bahawa pilihan untuk menginap atau memilih jalur perjalanan menuju tandas atau bilik air adalah hakikat wajib seorang manusia yang dalam kata lainnya seorang pejalan.

Untuk itu apabila menyewa di Kuala Lumpur saya sentiasa memilih bilik paling hampir dengan tandas, paling sempit supaya ia membolehkan saya tetap mampu berjalan sendirian, hal ini penting kerana saya tidak mahu dianggap sebagai pelancong.

Jelas, bilik yang saya miliki ini mirip sebuah bilik untuk menjalankan aktiviti asmara yang direka secara tergesa-gesa. Jangan salah faham, kata ‘asmara’ ini tidak semestinya merujuk kepada perkara yang kotor dan menjijikkan.

Pada zaman kolonial di Amerika Syarikat contohnya, pasangan muda yang ingin berkahwin kerap melakukan tradisi ‘bundling’. ‘Bundling’ adalah tradisi di mana sepasang kekasih diletakkan di sebuah bilik sempit berukuran sama dengan keluasan tandas biasa untuk diuji ketahanan mental menahan nafsu berahi. Dalam hukum ‘bundling’, mereka diminta berpakaian tidur dan dipisahkan oleh sebuah papan.

Perlahan-lahan saya melakukan dua langkah perjalanan, ini adalah satu prestasi yang begitu membanggakan sekali. Mata saya masih lagi berat dan ia membuatkan penglihatan saya sedikit kabur. Perjalanan masih jauh dan saya tidak mahu menyerah di sini sahaja.

Sepanjang perjalanan ke tandas saya dimanjakan oleh dinding putih dan almari pakaian di sebelah kanan. Andai kamera saya tidak rosak sudah pasti momen ini akan saya abadikan. Sebuah pemandangan syahdu dan artistik, dinding putih dengan sedikit retakan eksotik bercampur sarang labah-labah penuh debu. Saya yakin Instagram tidak pernah merakamkan gambar indah mengenai dinding bilik tidur.

Akhirnya, langkah ketiga terjadi. Pagi masih sunyi dan diisi dengan kebisingan burung yang berkicau. Bilik sebelah merupakan bilik teman saya yang di luar pintunya tertera selembar ayat al-Quran.

Memang ada perbezaan besar antara bilik kami. Secara geopolitik kami memiliki kefahaman dan ideologi yang berbeza dalam menentukan arah gerak dan bagaimana bilik harus diatur. Begitu juga kefahaman sebuah negara, pembinaan negara tidak boleh hanya dipandang secara hitam dan putih sahaja. Kosmopolitan membuatkan manusia terus bergerak.

Pintu sudah dibuka, saya terpandang sebuku sabun, entah berapa banyak sabun yang saya gunakan setiap hari, barangkali beratus atau beribu sejak saya lahir, tidak pula pernah saya menghitungnya. Bagi saya jumlah sabun ini sama saja dengan pasport, ia tidak penting, apa yang lebih penting adalah tujuan saya ke sana. Pencapaian perjalanan tidak harus diukur daripada jarak dan destinasi tapi kedewasaan dan kebijaksanaan menangani serta memahaminya.

Bercakap perihal tandas ini, saya teringat rumah seorang teman yang mana tandasnya begitu jauh daripada bilik tidur. Saya terpaksa menuruni tangga baru boleh sampai ke sana. Walaupun tangganya tidaklah se-‘extreme’ dan securam Gunung Kinabalu mahupun Dataran Tinggi Kjerag di Norway tapi ia tetap menyebabkan saya harus memegang bahu tangga yang membolehkan sedikit keringat peluh mengalir di dahi dan leher saya. Saya turun dengan berhati-hati untuk menjaga keseimbangan daripada terjatuh. Menuruni tangga untuk ke tandas adalah perkara bahaya.

Nasib baik satu persatu tangga itu berjaya saya tempuhi. Jadi benarlah kata pepatah bahawa jangan pernah bermain-main dengan alam kerana dengan sedikit kekuatan, manusia akan hancur lebur jika secara sewenang-wenang mengusiknya.

Perkara ini sedikit sebanyak mengingatkan saya dengan kilang nadir bumi Lynas di Pahang dan projek insinerator di Kepong. Secara tidak sedar, saya kini memilih untuk beristirehat sebentar di ruangan dapur, perjalanan ke tandas tadi membuatkan saya lelah. Kebetulan di meja makan ada segelas teh o panas, saya minum teh itu perlahan dan menikmati kehangatannya sambil mengelamun.

Menyingkap sejarah teh di Malaysia, kononnya ia bermula pada 1890 apabila John Archibald Russell yang ketika itu berusia tujuh tahun bersama bapanya membuka ladang teh di Cameron Highland. Ketika dewasa dan setelah terlibat dalam perusahaan getah, perlombongan dan pembukaan kawasan baru, Russell melihat potensi teh sebagai hasil tanaman yang mampu menjana ekonomi Tanah Melayu yang ketika itu dijana oleh getah dan bijih timah.

Berbekalkan sebuah jentera penggelek, beberapa pekerja dan pedati serta penanam teh veteran dari Ceylon, A B Milne mengubah hutan menjadi ladang teh pertama Malaysia. Perkara ini sebenarnya tidak penting kerana ia adalah satu kesalahan besar untuk meminum teh di saat keinginan membuang air sedang bergelodak.

Dengan bergegas saya menuju ke tandas. Dengan penuh penghayatan saya membuang sisa seni ke tempat sepatutnya. Tiba-tiba saya teringat sebuah dongeng daripada tokoh falsafah Slovenia, Slavoj Zizek tentang makna sebuah tandas.

Zizek pernah mengupas perihal ‘The Structure of Toilets’. Beliau menelaah pemikiran Friedrich Hegel yang menemukan penyimpangan dan keanehan bentuk tandas dalam tiga peradaban.

Pertama, perihal tandas di Jerman yang umumnya lubang tempat pembuangan kotoran terletak di bahagian depan sehingga kotoran terpampang untuk dihidu dan diamati agar dapat menjejaki sebarang penyakit.

Sementara dalam tandas Perancis, lubangnya terletak di belakang di mana kotoran itu harus menghilang secepat mungkin. Terakhir tandas Anglo-Saxon (Inggeris atau Amerika), tandas mereka amat bertentangan antara dua kutub tandas Perancis dan Jerman. Cekungan mangkuknya dipenuhi rendaman air sehingga sisa yang dibuang mengembang, tapi bukan untuk diamati.

Hegel antara orang pertama yang menafsirkan bahawa segi tiga geografi Jerman, Perancis dan Inggeris ini mengekspresikan tiga sikap eksistensial yang berbeza iaitu Jerman dengan ketelitiannya, Perancis sikap tergesa-gesa terhadap proses revolusi dan Inggeris bersikap moderat tapi tidak dapat berpisah daripada pragmatik dan utilitarian.

Dalam pengertian sikap politik, segi tiga ini boleh dibaca sebagai Konservatif Jerman, Radikalisme Perancis dan Liberalisme Moderat Inggeris.

Pejam celik, pejam celik. Berakhirlah sudah perjalanan saya menuju tandas. Kini saya harus memilih. Sama ada kembali ke ribaan katil yang melenakan atau berusaha terus bangun mandi dan menghadapi hari-hari yang tidak menentu.

Perjalanan seharian menyebabkan saya kini ketagih untuk terus berjalan, mencari dan menakluk. Ini berbeza dengan sikap saya pada perenggan awal. Mungkin benar kata seorang teman, apabila kita terlampau kerap melakukan perjalanan sehingga akhirnya menyebabkan kita lupa untuk pulang. Dalam bahasa politiknya boleh ditafsirkan sebagai penegasan untuk kerajaan supaya pulanglah kepada rakyat dan bukan terus berjalan mengisi poket sehingga penuh dan terkoyak. -Roketkini.com