Berita

Kenaikan cukai taksiran: Menteri Wilayah disaran henti kelirukan warga kota

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menegur sikap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang mengelirukan orang ramai hanya untuk meneruskan agenda menaikkan kadar cukai taksiran Kuala Lumpur.

Beliau berkata, tindakan Tengku Adnan yang mendakwa warga kota ‘keliru’ dan menyalahkan pembangkang kerana mewujudkan ‘kekeliruan’ adalah tidak benar sama sekali.

“Warga kota tidak pernah keliru, mereka memahami sepenuhnya apabila nilai tahunan dua kali ganda daripada sebelumnya, ia bermakna kadar penilaian tahunan akan berganda jika kadar cukai peratusan tetap sama.

“Rakyat juga tahu, kenaikan nilai tahunan tidak bermakna kadar penilaian mereka perlu meningkat kerana beliau selaku Menteri boleh mengurangkan kadar peratusan cukai yang kini enam peratus bagi harta persendirian dan 12 peratus untuk hartanah komersial di ibu kota.

“Lebih penting lagi, Tengku Adnan tidak boleh berfikir atau diperdaya untuk berfikir bahawa kemarahan warga kota adalah semata-mata kerana ‘kekeliruan’ mereka mengenai jumlah sebenar yang perlu dibayar serta kemudiannya akan menerima kenaikan 100 hingga 200 peratus cukai taksiran.” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tengku Adnan melakukan kesilapan besar kerana tidak mendengar suara rakyat sebelum melaksana penilaian baru itu.

“Saya ingatkan Tengku Adnan, beliau tidak boleh melakukan satu lagi kesilapan hanya kerana mahu meneruskan agenda yang tidak adil melalui kenaikan tidak munasabah dalam kadar penilaian kerana ia akan memberikan beban besar kepada rakyat.

“Sekali lagi saya tegaskan, rakyat tidak pernah ‘keliru’, mereka hanya keliru tentang kewajaran menaikkan cukai taksiran secara mendadak.

“Tengku Adnan sendiri tidak keliru, dia sememangnya tahu kenaikan itu tidak patut dan kemarahan rakyat jelas dan nyata,” tegasnya.

Beberapa akhbar semalam melaporkan dakwaan Tengku Adnan bahawa pemilik hartanah di Kuala Lumpur salah faham dan terkeliru dengan kadar kenaikan baru cukai taksiran yang dicadangkan kementerian dan DBKL.

Beliau turut dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan pengecualian peningkatan penilaian bagi hartanah kos rendah dan sederhana.-Roketkini.com