Berita

PR tubuh Jawatankuasa Persempadanan Semula, gesa SPR laksana tugas dengan adil

KUALA LUMPUR, 3 DISEMBER: Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Persempadanan Semula untuk mengkaji urusan persempadanan semula agar ia dilaksanakan secara adil dan telus.

Pembentukan jawatankuasa itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan PR di tingkat 14, Parlimen.

“Jawatankuasa ini akan diketuai Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen PKR Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dan Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming.

“Jika dilihat pada bentuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada yang terbabit dalam pelbagai kecurangan, kami sangsi dan resah dengan persempadanan semula yang akan dilaksanakan akhir tahun ini,” katanya.

Pada sidang media sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula menyarankan SPR melantik suruhanjaya baru yang terbukti bersih.

“Kita mahukan persempadanan semula dijalan secara adil, telus dan demokratik.

“Sebenarnya, cara terbaik adalah melantik ahli dan Pengerusi SPR baru yang mempunyai kewibawaan, kredibiliti dan integriti dalam melaksanakan tugas.

“SPR juga harus mengadakan perbincangan bersama PR mengenai persempadanan, ia tidak adil apabila sebarang langkah dibuat tanpa dirujuk kepada kami,” ujarnya. -Roketkini.com