Berita

CPI: Belanja berjuta, cuma naik satu tangga

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER: Kesungguhan pemimpin Barisan Nasional (BN) membanteras rasuah meragukan kerana tidak ada seorang pun Ahli Parlimen BN yang hadir ketika taklimat Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bersama Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, wakil kerajaan yang hadir hanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, manakala Ahli Parlimen BN tidak ada seorang pun yang hadir.

Beliau berkata, walaupun wang berjuta dibelanjakan, kerajaan gagal membanteras rasuah berdasarkan Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan semalam mendedahkan hanya peningkatan kecil iaitu naik satu tangga di tangga ke-53 berbanding 54 tahun lalu.

“Peningkatan kecil dalam laporan CPI yang diumum Transparency International adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali kerana banyak duit rakyat yang dibelanjakan untuk memperbaiki ketelusan dan mengurangkan rasuah,” katanya dalam kenyataan media.

Peruntukan pengurusan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2013 adalah sebanyak RRM252 juta manakala Jabatan Audit Negara pula sebanyak RM14 juta.

Malah, peruntukan tambahan berjumlah jutaan ringgit juga disalurkan ke makmal Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 selain iklan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Pencapaian ini sukar untuk dibanggakan.

“Malaysia masih ketinggalan jauh di belakang negara jiran Asia dan Timur Tengah termasuk Singapura di tangga ke-5, Hong Kong (15), Jepun (18), Emiriyah Arab Bersatu (26), Qatar (28), Bhutan (31), Taiwan (36), Brunei (38) dan Korea Selatan (46),” katanya.

Dr Ong berkata, berdasarkan keputusan skor yang dibentangkan semalam, menunjukkan mata yang dikutip Malaysia dalam 9 skop tinjauan adalah hampir sama dengan laporan tahun lalu.

“Skor yang kita peroleh adalah hampir sama dengan tahun lalu, apakah peningkatannya,” katanya.

Bagi tahun 2014, peruntukan kepada SPRM ditingkatkan kepada RM298 juta dan Jabatan Audit Negara juga naik kepada RM169 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM467 juta untuk kedua-dua agensi tersebut.

Semalam, Transparency International mengeluarkan laporan kedudukan Malaysia dalam CPI 2013, menyaksikan naik satu anak tangga daripada kedudukan 54 kepada 53.

Bagaimanapun, Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata prestasi itu masih perlu diperbaiki dan kerajaan harus lebih tegas dalam menangani isu membabitkan rasuah di dalam negara.

TI-M juga mengesyorkan beberapa cadangan agar pindaan dibuat khususnya Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 dan 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping menambah baik agensi penguatkuasa terbabit.

Selain itu, TI-M juga menggesa agar SPRM diberi autonomi yang lebih untuk melakukan pendakwaan dan menangani isu berkaitan rasuah di dalam negara.-Roketkini.com