Berita

DAP mohon kerajaan jelas 1,860 MyKad hilang setiap hari

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER: Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng menggesa kerajaan mengemukakan laporan terperinci berhubung statistik kehilangan MyKad yang meningkat begitu mendadak sehingga mencecah 32 peratus tahun ini.

Beliau berkata, statistik terperinci perlu dinyatakan untuk mengetahui apakah ia mempunyai hubung kait dengan penipuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Berdasarkan keterangan Timbalan Menteri baru-baru ini, sejumlah 565,000 MyKad dilaporkan hilang tahun ini, ia membabitkan peningkatan sebanyak 136,000u berbanding tahun sebelumnya iaitu 429,000.

“Pada 2011 dan 2012, kenaikan yang tercatat adalah tiga peratus dan apa yang lebih menimbulkan syak wasangka adalah kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sebuah akhbar yang menyatakan kemungkinan ia dijual kepada warga asing.

“Sebab itu statistik terperinci harus dibentangkan, rakyat ingin tahu apakah ia jatuh ke tangan sindiket, diguna pengundi hantu atau pengundi yang meragukan pada PRU-13, Mei lalu?,” soalnya pada sidang media, di Lobi Parlimen, semalam.

Tegasnya, jika kerajaan gagal berbuat demikian, ia tentunya akan menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat pada mereka yang sememangnya terpalit dengan pelbagai kegiatan salah laku dan rasuah.

“Tanggungjawab kini di bahu kerajaan untuk memberikan penjelasan yang masuk akal dengan fakta dan angka.

“Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan kepentingan nasional terjamin di saat ramai warga tetap negara begitu sukar memohon MyKad tapi ada pihak lain yang boleh mendapatnya dengan begitu mudah hingga menggunakannya atas tujuan salah.

“Angka ratusan ribu ini terlalu tinggi, ia bersamaan 1,860 kehilangan MyKad setiap hari atau setiap minit lebih daripada dua kad hilang,” ujarnya. -Roketkini.com