Berita

Guan Eng kecam sikap rasis Jahara

GEORGETOWN. 9 DISEMBER: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengecam tuduhan jahat ketua pembangkang negeri, Jahara Hamid yang menyatakan Majlis Perbandaran Seberang Perai mengambil tindakan selektif terhadap penjaja Melayu.

Beliau berkata, tindakan Jahara yang mengambil garis perkauman dan memutarbelit isu itu amat mengecewakan.

“Saya sentiasa memikirkan Jahara sebagai seorang nenak biasa tetapi kini beliau menjadi nenek yang tidak keruan dan bersikap rasis.

“Beliau langsung tidak menyebut bahawa terdapat lebih daripada empat gerai Melayu di sepanjang Pantai Bersih yang dibenarkan beroperasi.

“Ia tidak menjadi masalah untuk beliau mengkritik kerajaan negeri dan kami sedia terima tetapi mengapa menjadikan masalah ini sebagai isu kaum dan meneruskan propaganda rasis mereka,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri, Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut mengecam Jahara yang mendkwa Pulau Jerejak ditukar nama sebagai Pulau Mazu dan kerajaan negeri meluluskannya.

Beliau menafi dakwaan itu dan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah memberi sebarang kelulusan bagi pertukaran nama dan sedang menunggu laporan terperinci daripada Pejabat Tanah berhubung isu ini.

“Kerajaan negeri tidak pernah memberikan kelulusan itu. Ini adalah satu pembohongan jahat, seribu kali jahat.

“Jangan berlagak macam ketua pembangkang yang dulu, cakaplah perkara sebenar,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Jahara berhenti bertindak secara tidak profesional dan menahan diri daripada bertindak seperti bekas ketua pembangkang, Azhar Ibrahim yang digantung dua kali, sebelum ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam, kecoh apabila Jahara menuduh Majlis Perbandaran Seberang Jaya mengenepikan penjaja Melayu dengan mengambil tindakan selektif terhadap mereka.

ADUN DAP Sungai Puyu, Phee Boon Poh kemudiannya memohon Jahara menarik balik kenyataan yang bersifat rasis itu.

Jahara bersama 10 ADUN BN lain setelah itu bertindak keluar dewan selama dua jam walaupun Speaker DUN, Law Choo Kiang meminta beliau agar meneruskan perbahasan Bajet 2014. -Roketkini.com