Berita

Malaysia ke-4 paling teruk di dunia pengaliran keluar wang haram berjumlah RM1.2 trilion (2002-2012)

KUALA LUMPUR, 12 DISEMBER: Malaysia adalah juara dalam korupsi iaitu keempat paling teruk di dunia pengaliran keluar wang haram hasil daripada jenayah, rasuah dan pengelakan cukai di antara 2002 dan 2011 yang berjumlah US$370.38 bilion (RM1.2 trilion).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata prestasi cemerlang bagi tahun berkenaan menjadikan kedudukan Malaysia di belakang Rusia dengan US$191.14 bilion, China (US$151.35 bilion) dan India (US$84.94 bilion).

Beliau berkata, menurut laporan pemerhati kewangan berpusat di Washington, Global Financial Integriti walaupun populasi Malaysia kecil, ia memiliki aliran keluar wang haram yang lebih tinggi berbanding negara dengan populasi lebih besar di dunia.

“Jenayah, rasuah dan pengelakan cukai dikenalpasti sebagai penyumbang utama membabitkan kerugian besar sebanyak RM1.2 trilion atau US$370.38 bilion dalam bentuk wang haram antara 2002-2011.

“Jelas sekali jumlah kerugian daripada wang haram ini adalah lebih besar daripada KDNK Malaysia tahun ini atau tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, setiap negara yang menduduki 10 tertinggi dalam senarai terbabit mempunyai jumlah penduduk yang lebih ramai berbanding Malaysia.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan bahawa secara per kapita, Malaysia muncul juara dunia dalam gejala rasuah dan mengesahkan gelaran yang diberikan Transparency International dan Wall Street Journal dalam masa setahun lalu.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti mengambil tindakan ke atas penganugerahan gelaran yang begitu memalukan negara dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan seperti skandal saham Bumiputera bernilai RM52 bilion, di mana orang Melayu biasa terlepas peluang mendapatkan saham ini yang barangkali ghaib ke tangan pemimpin BN.

“Skandal RM14 bilion Port Klang Free Trade Zone serta pendedahan saban tahun pihak Ketua Audit Negara mengenai kegagalan mengurus kewangan (membabitkan dana berjumlah RM6.5 bilion pada 2012). Sehingga ke hari ini, tidak ada seorang pun yang menerima hukuman,” katanya.

Menurut beliau, jelas sekali Bank Negara Malaysia (BNM) tidak efektif dan cekap, malah langsung tidak bertanggungjawab dan lalai dalam menghentikan pengaliran keluar wang haram.

Katanya, walaupun mewujudkan jawatankuasa bertindak pada 2010 untuk melaksanakan langkah bagi menghentikan pengaliran keluar wang haram.

“Malaysia harus mencontohi model British yang mewujudkan pendaftaran awam berpusat bagi maklumat pemilikan berfaedah korporat bagi menghentikan pengaliran wang haram,” ujarnya.-Roketkini.com