Rencana

Mampukah Muhyiddin cipta ‘tiga keajaiban’ menerusi tiga Gelombang Pelan Transformasi Pendidikan – Lim Kit Siang

KEPUTUSAN PISA 2012 dianggap sebagai petanda amaran oleh kebanyakan negara dan mendorong mereka memikirkan semula keberkesanan dan daya saing sistem pendidikan masing-masing berbanding beberapa negara lain.

Antara negara berkenaan adalah Finland yang jatuh daripada kedudukannya sebagai negara OECD berpencapaian terbaik apabila mendapat hanya 519 mata untuk matematik, manakala Kanada (518 mata), Australia (504 mata), New Zealand (500), United Kingdom (494) dan Amerika Syarikat (481).

Semua negara terbabit mencatatkan mata di atas purata OECD bagi matematik, kecuali UK yang memperolehi mata separas dengan purata OECD dan AS pula di bawah purata OECD.

Malaysia pula memperoleh 421 mata dalam matematik, jauh di belakang negara terbabit, manakala pelajar Malaysia yang berusia 15 tahun pula ketinggalan sekitar 1.6 hingga 2.6 tahun persekolahan berbanding rakan sebaya mereka dari Finland, Kanada, Australia, New Zealand, UK dan AS.

Dalam pada pemimpin politik, termasuk menteri pelajaran dan pegawa setaraf mereka, perancang pendidikan dan ibu bapa di Finland, Kanada, Australia, New Zealand, UK dan AS, berdebat hangat mengenai keputusan PISA 2012, pihak bertanggungjawab di Malaysia, diterajui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, menunjukkan sikap tidak endah terhadap prestasi buruk Malaysia dalam PISA 2012.

Sudah hampir genap dua minggu sejak keputusan PISA 2012 diumumkan, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin belum memberi walau sepatah kata ulasan mengenai keputusan ujian itu, walaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 yang diterajui beliau menetapkan matlamat utama menduduki tangga sepertiga teratas di kalangan negara yang menyertai PISA dan TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Survey).

Muhyiddin mengelak daripada membincangkan keputusan PISA 2012 dan enggan mengaku bertanggungjawab terhadap keputusan buruk itu walaupun beliau menjadi Menteri Pelajaran sejak PISA 2009.

Sebaliknya, Muhyiddin membiarkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan kenyataan seminggu setelah keputusan PISA 2012 diumumkan iaitu kenyataan yang lebih membingungkan dan bukannya menjernihkan permasalahan pendidikan yang sedang dihadapi negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan tanpa memuatkan sumber dan nama pegawai bertanggungjawab pada Selasa, 10 Disember lalu menyebut: “Walaupun keputusan PISA 2012 tidak begitu memberangsangkan, kementerian percaya bahawa Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 menerusi penerapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancar pada 6 September.”

Menurut kenyataan itu, sebagai langkah segera, Kementerian Pelajaran telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memperbaiki kedudukan pelajar Malaysia dalam PISA.

Jawatankuasa mengenai Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan PISA itu akan diketuai Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian itu dan akan mengenal pasti serta memantau inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk program penilaian antarabangsa bagi pelajar.

Siapa manusia ajaib tidak bernama dan tidak berwajah ini yang bertanggungjawab untuk memastikan pelajar Malaysia membuat lonjakan berganda daripada tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS?

Kenyataan itu amat tidak jujur dan tidak bertanggungjawab kerana pada hakikatnya pasukan khas untuk PISA dan TIMSS bukan baru dibentuk pada 3 Disember 2013 iaitu selepas mendapat keputusan PISA 2012, sebaliknya ia dibentuk selepas keputusan TIMSS 2007 dan PISA 2009 diumumkan bagi memastikan Malaysia mampu memperbaiki pencapaian dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Ternyata pasukan khas berkenaan gagal besar, memandangkan keputusan TIMSS 2011 dan PISA 2012 lebih buruk daripada sebelumnya iaitu TIMSS 2007 dan PISA 2009.

Malaysia ikut serta dalam TIMSS buat pertama kali pada 1999. Ketika itu mata bagi subjek Matematik (519) dan Sains (492) berada di atas purata antarabangsa dan Malaysia menduduki tangga ke-16 di kalangan 38 negara bagi Matematik dan ke-22 bagi Sains.

Dalam TIMSS 2003, pencapaian Malaysia hampir sama dengan pada 1999. Malah mata Sains meningkat sedikit, kekal di atas purata antarabangsa, manakala mata Matematik merosot sedikit tetapi masih di atas purata antarabangsa dan kedudukan negara meningkat ke tangga ke-10 di kalangan 45 negara.

TIMSS 2007 dan 2011 menunjukkan kemerosotan jelas pada pencapaian pelajar Malaysia berbanding pelajar di negara lain.

Menjelang 2011, mata Matematik jatuh kepada 440 mata (ke-26 di kalangan 42 negara), manakala mata Sains merosot kepada 426 mata (ke-32 di kalangan 42 negara).

Dalam empat TIMSS 1999-2011, Malaysia adalah negara paling teruk merosot matanya di kalangan negara terbabit dalam ujian bagi kedua-dua subjek matematik dan sains: mata matematik merosot sebanyak 79 mata daripada 519 pada 1999 ke-440 pada 2011; mata sains merosot sebanyak 66 mata daripada 492 pada 1999 kepada 426 mata pada 2011.

Hampir 38 peratus pelajar Malaysia tidak mencapai tahap penanda aras minimum bagi matematik dan sains pada 2011. Jumlah ini hampir dua kali lebih banyak sejak 2007 dan lima kali bebih banyak daripada 1999.

Untuk PISA 2009 dan 2012, Malaysia jatuh ke tangga sepertiga tercorot bagi subjek matematik, sains, dan bacaan, di bawah purata antarabangsa dan OECD.

Lebih separuh pelajar Malaysia tidak mencapai tahap keupayaan yang memadai dalam subjek matematik – dalam ungkapan mudah, mereka telah gagal.

Pasukan khas TIMSS dan PISA Kementerian Pelajaran untuk memperbaiki pencapaian Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012 dengan itu boleh dianggap gagal teruk, maka tiada alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang mempamerkan sikap acuh tidak acuh dan yakin keterlaluan seperti kenyataan yang dikeluarkan pada 10 Disember lalu dengan menyebut “Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 menerusi penerapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancar pada 6 September.”

Muhyiddin sebenarnya perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa pasukan khas TIMSS dan PISA Kementerian Pelajaran gagal memperbaiki prestasi pelajar Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

Kementerian Pelajaran berhelah apabila ia menyatakan bahawa ia akan berpuas hati jika Malaysia memperbaiki pencapaian dalam PISA 2015.

Cuba kita lihat apa yang dijanjikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan.

Rakyat Malaysia dijanjikan dengan “tiga gelombang pembaharuan” dalam tempoh 13 tahun transformasi pendidikan pelan itu – Gelombang 1 (2013-2015), Gelombang 2 (2016-2020) dan Gelombang 3 (2021-25).

Gelombang 1 untuk “memperbaiki sistem dengan menyokong guru dan memberi tumpuan terhadap kemahiran teras”; Gelombang 2 untuk “memacu penambahbaikan sistem” dan Gelombang 3 untuk “bergerak ke arah kecemerlangan dalam keadaan keupayaan operasi yang semakin anjal.”

Menjelang Gelombang 2 (2016-2020), prestasi Malaysia akan separas dengan purata antarabangsa pada kitaran PISA dan TIMSS berikutnya dan menjelang Gelombang 3 (2021-2025), pencapaian Malaysia akan berada di tangga sepertiga teratas dalam PISA dan TIMSS.

Apa makna semua ini daripada segi pelaksanaan?

Untuk berada di paras purata antarabangsa PISA (500 mata) dalam Gelombang 2 (2016-2020), Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya 500 mata dalam PISA 2018.

Kini Malaysia terperusut di tangga sepertiga tercorot dalam PISA untuk ketiga-tiga subjek iaitu 421 mata untuk matematik, 420 mata sains dan 398 mata bacaan.

Untuk mencapai 500 mata purata PISA dalam PISA 2018, bererti dalam PISA 2015 Malaysia perlu mendaki ke tangga pertengahan, bererti ia perlu mendapat 450 mata untuk matematik, 446 mata sains dan 442 mata bacaan, agar ia
berada pada kedudukan yang baik dalam Gelombang 2 untuk meningkatkan mata ke paras purata antarabangsa iaitu 500 mata, dalam PISA 2018.

Bererti, dalam PISA 2015 Malaysia perlu membuat keajaiban dan meningkat sebanyak 29 mata untuk matematik, 26 mata (sains) dan 44 mata (bacaan), seterusnya ia perlu melakukan satu lagi keajaiban untuk mencapai 500 mata dengan meningkatkan 50 mata untuk matematik, 54 (sains) dan 58 (bacaan) dalam PISA 2018.

Malaysia malah perlu melakukan keajaiban ketiga untuk menduduki tangga sepertiga teratas PISA dalam Gelombang 3, memandangkan nilai ambang untuk naik ke tangga itu ialah 532 mata untuk matematik, 511 (sains) dan 508 (bacaan).

Tiada negara pernah membuat keajaiban sedemikian, tetapi Muhyiddin menjangkakan pelajar Malaysia mampu melakukannya dalam masa 13 tahun!

Semua angka di atas berasaskan keputusan PISA 2012, namun ujian PISA 2003, 2006, 2009 dan 2012 menunjukkan nilai ambang sentiasa meningkat, misalnya Hong Kong pada 2003 menunjukkan pencapaian terbaik dalam matematik dengan 550 mata, tetapi dalam PISA 2012 Shanghai mencatat 613 mata untuk subjek itu.

Apa maksud Kementerian Pelajaran apabila ia yakin Malaysia boleh memperbaiki pencapaian dalam PISA 2015?

Apakah kementerian itu akan menganggap pencapaian Malaysia meningkat jika mata bagi setiap subjek meningkat serba satu mata, iaitu daripada 421 mata matematik dalam PISA 2012 meningkat kepada 422 pada 2015, mata sains daripada 420 meningkat kepada 421 dan bacaan daripada 398 kepada 399?

Peningkatan sebegini mengabaikan sepenuhnya matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan untuk mencapai tangga sepertiga teratas dalam PISA 2021 yang memastikan Malaysia untuk meraih dalam Gelombang 1 sebanyak 450 mata matematik, 446 mata sains dan 442 mata bacaan dalam PISA 2015!

Mampukah Muhyiddin melakukan tiga keajaiban pendidikan untuk Malaysia dalam tempoh 13 tahun?

Jika direnung, ternyata julukan “Pelan Pembangunan Pendidikan Ajaib” Muhyiddin adalah agak padan dan bersesuaian.-Roketkini.com

Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah