KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER: Atas nama memperjuangkan kebebasan media, barisan Ahli Parlimen DAP hari ini menyumbangkan cek bernilai RM40,000 kepada Malaysiakini untuk membantu portal berita itu memiliki premis sendiri.
Jumlah itu adalah hasil sumbangan peribadi 38 Ahli Parlimen dan dua Senator DAP.
Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Loon ketika dihubungi berkata, sumbangan itu bagi menyokong kebebasan media, dalam keadaan media arus perdana dikawal kerajaan BN.
“Kita ingin sokong kebebasan media. Oleh itu, setiap Ahli Parlimen dan Senator keluarkan RM1,000 untuk membeli bata Malaysiakini,” katanya yang turut memberi sumbangan.
Beliau yang juga Bendahari Kebangsaan DAP menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran di pejabat portal itu di Bangsar Utama, tengah hari tadi.
Turut hadir sama memberi sumbangan antaranya Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik; Anthony Loke Siew Fook (Seremban) dan Lim Lip Eng (Segambut).
15 November lalu, Malaysiakini melancarkan kempen ‘Beli Bata’ bagi mengumpul RM3 juta untuk membeli bangunan baru di Seksyen 51, Petaling Jaya.
Setiap individu yang menyumbangkan RM1,000 akan mendapat langganan dan iklan di laman itu dengan nilai yang sama, dan seketul bata berukir namanya yang akan diletakkan pada tembok penghargaan yang bakal dibina.
Setakat ini, jumlah sumbangan terkumpul adalah RM730,000. – Roketkini.com