Berita

Gantung ‘The Heat’: Kebebasan akhbar Malaysia bakal lebih teruk daripada Myanmar

KUALA LUMPUR, 27 DISEMBER: DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar mengembalikan permit penerbitan akhbar mingguan The Heat agar kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media tidak terus menurun.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, penggantungan permit akhbar itu boleh menyebabkan kedudukan Malaysia lebih rendah daripada Myanmar.

“Najib perlu segera masuk campur kembalikan permit kepada The Heat, sebelum ia jadi punca Malaysia turun ke kedudukan terendah, lebih rendah daripada Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia di kedudukan 145 daripada 179 negara dalam indeks yang dikeluarkan badan Reporters Without Borders (RSF) pada 2013 – kedudukan terendah sejak ia dimulakan pada 2002.

Beberapa negara serantau lain mencatatkan kedudukan lebih baik, seperti Brunei (122); Thailand (135) dan Indonesia (139), manakala Myanmar pada kedudukan 151.

Katanya, Myanmar berada di enam kedudukan di belakang Malaysia selepas naik 18 kedudukan daripada tahun sebelumnya.

“Adakah Malaysia menuju ke kedudukan yang terendah dalam sejarah Indeks Kebebasan Media, malah lebih rendah daripda Myanmar, pada 2014 nanti?” katanya lagi, sambil menyeru Najib agar menunaikan ikrarnya untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘demokrasi terbaik di dunia’ sebelum 2013 berakhir.

“Tiada sesiapa, sama ada di Malaysia atau luar negara, percaya yang Najib akan mengubah Malaysia kepada ‘demokrasi terbaik di dunia.

“Namun, mereka sekurang-kurangnya mengharapkan Najib agar tidak mengingkari janji-janji perubahan demokratiknya,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Pada 13 Disember lalu, akhbar itu menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Dalam Negeri, dipercayai berhubung artikel muka hadapan bertajuk ‘All eyes on big spending PM Najib’, dan kemudian digantung permit enam hari kemudian.

Penggantungan The Heat, katanya lagi, bakal menjadi contoh bahawa Najib mengingkari janjinya untuk melepaskan media daripada sekatan ketika zaman Tun Mahathir. – Roketkini.com