Rencana

11 langkah tidak cukup bendung kenaikan kos sara hidup rakyat – NJ

BUKAN setakat 11 langkah yang perlu diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah banyak lagi langkah penjimatan perlu dilakukan sebelum menaikkan harga petroleum, gula, tarif elektrik dan kadar tol jika betul-betul kerajaan Barisan Nasional (BN) mendahulukan rakyat.

Setakat 11 langkah diumumkan bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10%, berkuatkuasa 1 Januari ini, tidak berbaloi dan gagal menghalang kenaikan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, kerajaan perlu mengurangkan jumlah kakitangan yang didakwa melebihi daripada sepatutnya, termasuk jabatan atau agensi yang fungsinya bertindih antara satu sama lain serta had umur persaraan dikurangkan daripada 60 tahun kepada 55 tahun seperti yang diamalkan sebelum ini.

Jumlah kakitangan awam di Malaysia adalah 1.4 juta orang yang dikatakan nisbahnya paling ramai di dunia berbanding jumlah penduduk hanya 28 juta.

Kerajaan pimpinan Najib juga tidak perlu melantik ramai bekas menteri yang dianggap membazirkan wang rakyat termasuk Datuk Seri Rais Yatim sebagai penasihat kerajaan dalam hal sosial dan kebudayaan bertaraf menteri juga merangkap Pengerusi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman yang tewas di Parlimen Nibong Tebal pula dilantik Penasihat Khas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ini belum lagi dikira jawatan yang sekarang disandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Heng Seai Kie dan Ng Yen Yen serta tidak termasuk beberapa penasihat Najib sendiri yang bergaji dan berelaun tinggi.

Najib perlu ingat setiap sen yang dibayar kepada penasihat terbabit adalah wang rakyat yang dipertanggungjawabkan beliau menjaga amanah itu.

Berikut adalah antara gaji pemimpin yang pernah didedahkan di Dewan Rakyat.

1. Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dibayar RM27,227.20 sebulan sebagai Duta Khas di Amerika Syarikat.

2. Datuk Seri S Samy Vellu (RM27,227.20 sebulan) – Duta Khas ke India dan Asia Selatan.

3. Tan Sri Ong Ka Ting (bekas Presiden MCA) (RM20,000 sebulan) – Duta Khas Perdana Menteri ke China

4. Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin (RM25,106) – Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

5. Tan Sri Syed Hamid Albar (RM20,000) – Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pelantikan mereka membuktikan kerajaan bimbang mereka itu akan menjadi miskin dan papa kedana sebab itu masih diberi jawatan, sedangkan rakyat miskin tidak langsung dibela sewajarnya oleh kerajaan.

Kita bukan menentang langkah penjimatan itu, sebaliknya mengalu-alukan, tetapi adalah lebih jika langkah itu dilakukan sejak awal lagi sebelum menaikkan harga petroleum, gula, tarif elektrik dan tol yang menyebabkan harga barangan keperluan lain meningkat atau melambung tinggi.

Pengaliran keluar wang yang dihantar pekerja asing di negara ini perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan kerana ia meningkat setiap tahun.

Ini menggambarkan begitu mudahnya rakyat asing mencari rezeki di negara ini sehingga terlalu ramai pendatang asing berminat datang ke negara ini.

Selain itu ia membuatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terhad kerana beberapa sektor kini dibolot rakyat asing.-Roketkini.com