Rencana

Angkat senjata melawan kenaikan cukai – Haris Zuan

harisKISAH ini adalah kisah bagaimana satu perjuangan melawan cukai, kenaikan harga dan inflasi dianggap sebagai pemberontakan. Kisah ini juga adalah kisah bagaimana atas nama cukai, pemerintah sanggup untuk membunuh demi mengekalkan patuh. Kisah ini juga adalah kisah bagaimana sebuah kerajaan akhirnya hilang dukungan rakyat hanya kerana cukai – dan ini adalah kisah benar.

Cukai adalah wajib. Mencukai yang mampu – khasnya yang kaya – bagi kepentingan semua adalah satu cara untuk memastikan semua dapat merasa nikmat hidup bermasyarakat, saling bantu-membantu – satu fikiran asas mengenai kepentingan cukai. Tiada yang membantah akan perkara ini. Namun yang dibantah apabila cukai yang dikenakan tidak membantu menyenangkan hidup rakyat terbanyak. Duit cukai yang banyak itu tidak jelas di mana hilangnya.

Namun, nampaknya kali ini cukai bukan sahaja dikenakan pada yang mampu, tetapi juga kepada orang kebanyakan dengan cara mencukai barangan harian. Malah, setiap tahun terdapat cukai individu untuk semua orang. Tidak boleh tidak, wajib membayarnya.

Maka orang ramai tidak lagi tertahan, kos hidup semakin mendesak dan pemerintah kelihatannya tidak mempedulikan semua itu. Malah, mereka dipaksa untuk berjimat cermat agar dapat membayar cukai terbabit. Mereka diingatkan agar bekerja lebih keras dan jangan malas! Bagaimana untuk bekerja lebih keras sedangkan mereka bangun sebelum terang tanah untuk ke laut dan juga ke bendang. Bagaimana untuk lebih berjimat jika nasi yang mereka makan pun sering dicampur ubi.

Hidup kian mendesak, rezeki yang sedikit hasil kerja keras kudrat empat keras buat menyuap mulat anak dirampas atas nama cukai. Pada masa yang sama, kelihatannya sang penguasa semakin mewah dengan kenderaan dan kediaman yang megah. Seolah-olah tulang empat kerat rakyat ini hanya digunakan buat menyenangkan nafsu sang penguasa. Jika mereka percaya rakyat akan terima bahawa kenaikan harga cukai dan harga barangan ini adalah takdir Tuhan yang tidak terelak, mereka silap!

Rakyat tidak cukup bodoh untuk menerima bulat-bulat manipulasi agama!

Akhirnya keganasan meletus. Namun segalanya sudah terlambat. Lawan tetap lawan! Sang penguasa kaget, hilang punca. Tidak menyangka bahawa rakyat sebegini berani bertindak sejauh ini. Maka sang penguasa kerana tiada bersiap siaga, terpaksa meminta bantuan tentera daripada beberapa negeri lain. Penguasa kemudiannya mengisytiharkan bahawa pemimpin yang ingkar membayar cukai itu sebagai penderhaka dan wajib dibunuh. Harta benda dan rumah mereka dibakar sehingga hangus.

Askar dikerah untuk mematahkan pemberontakan itu. Pada pejuang pula, mereka hanya mempertahankan hak dan harta masing-masing. Mereka kemudiannya berkubu mempertahankan diri. Namun, akibat pertempuran yang tidak adil, kemenangan tidak berpihak kepada mereka. Pemimpin mereka dibunuh dan dimalukan. Jasadnya yang tidak lagi bernyawa tidak pun dihormat sebagai mayat manusia – digantung terbalik beberapa hari di depan istara raja.

Sehingga busuk dan membengkak, semata-mata ingin memberi gerun kepada orang ramai – inilah padahnya jika melawan membayar cukai.

Demikianlah kisah Tok Janggut yang melawan pemerasan melalui cukai pada 1915. Mereka melawan hingga titisan darah terakhir kerana membela masyarakat terbanyak daripada cukai barangan harian yang menjerut – antara cukai yang tidak masuk akal itu termasuk cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung. Malah, setiap tahun rakyat dikerah pula membayar cukai kepala RM1 setiap seorang.

Perlawanan ini bukan yang pertama atau yang terakhir, malah bukan juga yang terasing. Di mana-mana di Tanah Melayu ini, masyarakat melawan percukaian yang tidak adil, sebagaimana perjuangan Dato Maharajalela yang akhirnya membunuh J.W.W Birch pada 1875. Birch bertindak sesuka hati dengan memperkenalkan cukai baru seperti cukai padi, perahu atap, senjata dan bayaran permit untuk membalak. Setiap isi rumah dikehendaki membayar RM2 sebagai cukai kelamin.

Malah, kita pastinya tidak harus melupakan bagaimana Perang Naning 1 yang berlarutan selama 18 hari antara Dato’ Dol Said dengan bantuan orang Rembau di bawah pimpinan Syed Shaaban menantu Raja Ali dengan Inggeris pada 1831, berpunca daripada cukai tanaman. Inggeris memaksa Naning untuk menyerahkan 10 peratus hasil tanamannya kepada Inggeris dan akhirnya Inggeris kalah Perang Naning 1 – meskipun kemudiannya terpaksa bermati-matian selama 4 bulan untuk menang kembali pada Perang Naning 2.

Demikianlah sejarah harus diingati. Jika rakyat ditindas, akhirnya mereka akan bangkit melawan, merebutkan kembali hak yang dirampas. Cukai adalah kewajiban pada yang mampu dan berhak. Namun cukai juga datang dengan tangungjawab, semakin banyak cukai yang dikutip, seharusnya semakin telus sesebuah kerajaan itu, kerana rakyat berhak tahu bagaimana harta daripada titik peluh mereka diuruskan.

Sekali lagi ditegaskan, cukai seharus merapatkan jurang antara yang memiliki dan yang kurang memiliki. Seandainya nilai ini diputar-belitkan semata-mata untuk memastikan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin, rakyat tidak berdiam diri. Meskipun jalannya bukan lagi keris dan tombak tetapi kertas undi. – Roketkini.com