Rencana

Anak anugerah teristimewa, anak OKU apatah lagi – Aishah

KAU Teristimewa bukan sahaja lagu dendangan Adibah Noor, melainkan cuba untuk menarik perhatian kita akan isu kanak-kanak terutamanya kanak-kanak dengan keperluan khas. Kita sedia maklum akan perkhidmatan dan pendidikan khas yang ditawarkan agensi kerajaan terhadap kelompok minoriti ini. Tetapi sejauh mana, hak kelompok minoriti ini terpenuh?

Pendidikan khas disediakan untuk individu kurang upaya yang terdiri daripada mereka yang kecacatan mental, masalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi (pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.

Namun, kurang perhatian diberikan kepada kanak-kanak yang memerlukan penjagaan selain yang sedia ada, contohnya kanak-kanak yang mengalami “Cerebral Palsy”.

Malah, Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan khas, pendidikan khas integrasi dan kemudahan untuk murid yang mempunyai masalah pembelajaran, penglihatan dan pendengaran sahaja. Pendidikan jenis ini pula menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif.

Jelas, dengan adanya pelbagai dasar dan jabatan kerajaan seperti Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Khas dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, isu yang menyentuh keperluan berbeza kanak-kanak istimewa ini kurang diberi perhatian sewajarnya.

Kerajaan Persekutuan hanya mampu mendatangkan antaranya Sekolah Pendidikan Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi, Pemulihan dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hal ini sudah tentu menjadikan Malaysia jauh ketinggalan daripada segi pendidikan kepada kanak-kanak dengan keperluan khas terutamanya yang mengalami “Cerebral Palsy”. Jika dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia mempunyai 46 sekolah inklusif di Jakarta sahaja, daripada tadika sehingga sekolah menengah dan sejumlah 800 sekolah inklusif di peringkat asas di seluruh Indonesia.

Ini menjadikan Malaysia masih dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif. Selain itu, sekolah khas yang diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah/ teknik/vokasional juga lebih mensasarkan murid yang bermasalah penglihatan dan pendengaran.

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak diterima dengan rasminya oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke-44 pada 20 November 1989 secara konsensus. Kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak pada 28 Disember 1994.

Konvensyen itu menekankan bahawa kanak-kanak di bawah umur 18 tahun mempunyai hak seperti untuk hidup, membesar dengan sihat, menikmati taraf hidup dan pemeliharaan yang sempurna serta belaian kasih sayang dalam suasana kekeluargaan. Konvensyen itu juga menghuraikan segala keperluan kanak-kanak berasingan daripada keperluan orang dewasa dengan mengambil kira keperluan seperti usaha memberi perlindungan kepada kanak-kanak, peranan dan tanggungjawab keluarga dan negara dalam memberi perlindungan dan menjaga kepentingan kanak-kanak.

Bagaimanapun, isu kanak-kanak dengan keperluan khas ini tidak sehangat isu kereta Mercedes di pihak kerajaan Pusat. Kegagalan Kerajaan Pusat untuk menjaga kebajikan kanak-kanak dengan keperluan khas ini menunjukkan pemerintahan Barisan Nasional selama 56 tahun bukanlah untuk memperjuangkan nasib rakyat. Apatah lagi kanak-kanak ini adalah generasi pemimpin masa hadapan.

Terdapat 15 bidang dalam Dasar Orang Kelainan Upaya (OKU), ini termasuk beberapa bidang yang menyentuh keperluan kanak-kanak dengan keperluan khas ini, iaitu Kanak-kanak OKU, advokasi, kesihatan, pemulihan, pendidikan, keselamatan diri dan perlindungan sosial, perkhidmatan sokongan, sosial, pembabitan masyarakat dan penyelidikan dan pembangunan. Bukan itu sahaja, selaras dengan kempen masyarakat penyayang, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan antaranya;

  1. Kemudahan galakan pelepasan cukai
  2. Kemudahan pengangkutan awam
  3. Kemudahan perumahan
  4. Pengecualian bayaran rawatan perubatan (dikecualikan bayaran di hospital kerajaan sahaja, tidak termasuk hospital university dan institusi, dan tidak termasuk bayaran wad kelas ketiga, bayaran pakar dan ubatan.)
  5. Pengecualian bayaran dokumen perjalanan
  6. Kemudahan peluang pekerjaan
  7. Kemudahan pendidikan (termasuk elaun bulanan RM 300)
  8. Kemudahan dalam aktiviti harian
  9. Pengecualian 50% duti eksais
  10. Insentif lain bantuan untuk kanak-kanak istimewa dan Orang Kelainan Upaya (OKU)

Yang harus kita tanyakan, sejauh mana keberkesanan kemudahan dan kempen di saluran perdana terhadap kanak-kanak istimewa? Adakah kemudahan/perkhidmatan/dasar yang disediakan kerajaan pusat ini bersifat “asal ada”? Jika dasar ini untuk mengutamakan kepentingan kanak-kanak istimewa ini dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU, bagaimana pula cara yang sesuai untuk mendekati keluarga terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak daripada kelompok ini.

Keluarga juga perlu difokuskan kerana kanak-kanak ini sangat memerlukan sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Kesedaran atas isu ini bukan sahaja perlu dilakukan badan bukan kerajaan, tetapi juga perlu diperluaskan oleh agensi kerajaan.

Justeru, selari dengan bidang pemulihan dalam Dasar Orang Kurang Upaya, kerajaan Persekutuan perlulah meningkatkan keberkesanan serta memperluaskan program pemulihan sedia ada bagi OKU serta mewujudkan program pemulihan baru bagi OKU selaras dengan perkembangan semasa.

Soal hak kanak-kanak ini bukan suatu isu baru, ini juga bukan soal satu atau dua orang tetapi soal kemanusiaan. Untuk itu, kerajaan Persekutuan perlulah mendatangkan perkhidmatan pemulihan yang berkesan dan terkini, bukan hanya merangka dasar yang hanya cantik di atas kertas. – Roketkini.com