Berita

Fitnah jahat terhadap Hannah Yeoh tidak berasas, ulangan politik perkauman

KUALA LUMPUR, 8 JANUARI: Wanita DAP menyifatkan fitnah yang dilemparkan blogger pro-BN terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh sebagai tidak berasas, sebaliknya hanya ulangan politik perkauman oleh UMNO-BN.

Pengerusinya, Chong Eng merujuk penyebaran gambar dua wanita Cina yang duduk di kerusi di dalam komuter dan seorang wanita Melayu hamil yang bersila di sebelahnya.

Malah, penyebaran gambar itu disertakan dengan petikan palsu Hannah, kononnya beliau berkata ‘duduk bersila baik untuk wanita hamil’ sebagai gambaran beliau menyokong dua wanita itu.

Chong Eng dalam satu kenyataan berkata, fitnah itu jelas bertentangan dengan personaliti Hannah Yeoh, ahli politik yang berpegang dengan prinsip ‘Malaysian Malaysia’.

“Tuduhan itu tidak benar, malah menjadi petunjuk politik perkauman yang sentiasa dimainkan UMNO/BN.

“Jika diamati, beliau bukan seorang rasis. (Sebelum ini) beliau berusaha wujudkan masyarakat yang tidak dikelaskan ikut kaum, melalui pendaftaran anaknya sebagai bangsa Malaysia – bukan Cina atau India,” katanya yang mengutuk keras fitnah itu.

Malah, katanya lagi, Hannah pernah dipetik laman berita antarabangsa, BBC News pada 18 Ogos 2011 berhubung keinginannya melawan politik berasaskan kaum yang berakar di Malaysia.

Berikutan fitnah itu, Hannah menerima pelbagai komen buruk di Facebook, termasuk ugutan bunuh oleh seorang pengguna bernama Ben Firdaus, yang menulis ‘Jom cari hannah ni…bunuh dia’ di halaman ‘Anti Semua Salah UMNO’.

Dalam pada itu, Exco kerajaan Pulau Pinang itu menyeru rakyat agar melihat isu yang lebih besar iaitu ketidakcekapan pengangkutan awam negara.

Katanya, inisiatif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mewujudkan gerabak khas bagi wanita ternyata belum cukup untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pengguna wanita.

“Merujuk gambar yang sama, ada wanita lain yang berdiri kerana tiada tempat duduk. Gerabak khas masih padat dengan penumpang. Justeru, perkara yang perlu difikirkan bukanlah petikan yang tidak tentu asal-usulnya.

“Tetapi keberkesanan pengangkutan awam dan impak kepada pengguna yang majoritinya wanita, serta sejauh mana Datuk Seri Najib Razak melaksanakan agenda pembangunan wanita yang menurutnya agenda utama kerajaan ,” katanya lagi.-Roketkini.com