Berita

DAP terus komited selamatkan Sabah dari ancaman UMNO-BN

KOTA KINABALU, 11 JAN – DAP mengulang komitmen untuk memastikan perubahan berlaku di Sabah demi memastikan rakyat negeri itu hidup secara bermaruah dalam keadaan yang bebas, adil, demokratik tanpa korupsi.

Berucap di Konvensyen Biasa DAP Negeri Sabah hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjanji bahawa parti itu akan terus menggunakan apa sahaja sumber yang ada walaupun terhad untuk memberi kemudahan air dan elektrik kepada perkampungan Sabah yang diabaikan Barisan Nasional (BN).

“Selain daripada memungkiri janji mereka dalam pilihanraya yang lalu, apa yang telah BN lakukan untukmeyakinkan rakyat Sabah bahawa Sabah adalah rakan kongsi saksama dalam Persekutuan Malaysia?” soal beliau.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengecam Kerajaan BN yang bukan sahaja gagal menjaga keselamatan rakyat Sabah daripada penjenayah malah daripada ancaman penceroboh luar.

“Malah hak beragama orang Sabah juga kini terancam oleh kerana permainan perkauman dan ekstremis oleh UMNO,” ujar beliau.

“Semalam Ketua Polis Negara berkata beliau berharap supaya Akta Keselamatan Negeri dihidupkan semula.

“Dihidupkan semula supaya boleh menahan rakyat Malaysia tanpa bicara daripada mengamalkan hak beragama seperti yang telah biasa dijalankan sejak dahulu?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau turut mengingatkan perwakilan yang hadir ke konvensyen negeri tersebut bahawa Sabah masih gagal berada dalam senarai lima tertinggi dalam jumlah pelaburan asing bagi seluruh negara untuk tempoh tahun 2010 sehingga Ogos 2013.

“Adakah ISA boleh menghentikan rasuah? Adakah ISA boleh menghentikan dasar kabotaj dan melaksanakan ‘1Malaysia, 1Harga’ supaya berlaku adil kepada saudara kita di Sabah?” soal beliau.

“Bolehkah ISA menjamin bahawa rakyat Sabah akan mendapat hak yang adil daripada keuntungan petroleum dan gas?