Rencana

Pejuang media vs raksasa bernama Kerajaan – Aedi Asri

DALAM perjalanan pulang ke rumah selepas kerja, saya berjalan-jalan di sekitar Bukit Bintang ke KLCC. 24 Disember, malam Krismas.

Di semua kompleks beli-belah yang dilalui, ada tujuh semuanya, orang sibuk dan terasa benar mood raya – dengan lagu yang keluar daripada pembesar suara, persembahan pentas di ruang legar hingga dekorasi ikut tema. Macam raya lain juga.

Lima hari sebelumnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit akhbar mingguan berbahasa Inggeris – The Heat. Akhbar baru, tak ramai yang tahu.

Empat belas tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum ke-11, KDN mengharamkan mingguan Eksklusif dan majalah Detik. Kedua-duanya terkubur. Undur lagi, ketika Operasi lalang di penghujung 80-an, akhbar The Star dan Watan pun ditarik permitnya. The Star hidup kembali dan kini orang kenal sebagai akhbar MCA. Watan pula selamat dikebumikan.

Sama seperti malam Krismas tempoh hari, saya yakin tiada apa yang berubah, atau dilihat berubah, dalam kehidupan ramai seminggu selepas The Star dan Watan diharamkan. Yang terjejas hanya pekerja syarikat yang hilang punca pendapatan.

Bagaimana jika pagi esok ketika berjalan ke pejabat, anda tidak lihat akhbar besar seperti Utusan Malaysia dan New Straits Time di kedai? Kemungkinan besar, anda akan pulang seperti biasa lapan jam kemudian, tanpa rasa apa-apa.

Siapa peduli hal pengharaman buku – akhbar – majalah?

Media untuk apa?

Media, dalam suasana paling ideal, adalah pemerhati paling tajam perilaku dunia; daripada penguasa sehingga masyarakat, tiada yang terlepas. Media hanya patut berpihak kepada ideologinya sendiri. Bukan kepada perintah penguasa, mahu pun sikap kolektif masyarakat. Saya rasalah.

(Mengapa tidak kepada masyarakat? Kerana media menyampaikan sesuatu isu menurut kecondongannya. Dalam keadaan yang benar-benar bebas, pasti akan wujud pelbagai media dengan perspektif masing-masing. Dengan kepelbagaian inilah masyarakat akan menilai dan menentukan sikap.)

Namun, pada ketika terburuknya, media menjadi perkakas multi-tugas paling berguna untuk pihak yang menguasainya – di Malaysia, tentunya pemerintah yang mencengkam media dengan segala macam undang-undang.

Kita lihat sendiri bagaimana penguasa menjatuhkan musuh politik, mengada-adakan ketakutan bersama masyarakat. Ini semua berlaku di hadapan mata kita sendiri. Dan mata kita tak terbeliak pun ketika melihatnya.

Apatah lagi, kata ‘bebas’ itu sudah dianjak maknanya dan diberi nilai negatif oleh penguasa, melalui media juga. ‘Bebas’ bukan lagi ‘merdeka’, tetapi ‘perlakuan tanpa tanggungjawab’. Jika ia adalah satu sisi pada sekeping syiling, sisi satu lagi adalah ‘huru-hara’.

Maka tidak pelik, seruan media bebas jarang disahut masyarakat dengan bersungguh-sungguh. Dalam diam, ramai yang sebenarnya masih tidak punya keyakinan untuk menganggap kebebasan (selain tiada kesan langsung kepada kelangsungan hidup, tentunya). Sokongan politik pula, di sebelah oposisi terutamanya, jarang melampaui tuntutan agar mereka diberi ruang sama.

Di Malaysia, yang sungguh-sungguh berjuang demi media yang (benar-benar) bebas ini hanya pengamalnya. Sekelompok kecil inilah yang tanpa henti menuntut hak mereka dikembalikan.

Manakan tidak, kesedaran mereka sehari-hari disentak; antara hati nurani dan perut yang perlu diisi.

Geramm dan The Heat

Mengambil berkat daripada pengharaman The Heat, sekumpulan pengamal media sekali lagi menyuarakan laungan kebebasan ini. Gerakan Media Marah, atau Geramm, menggerakkan siri kempen membantah pengharaman akhbar mingguan itu – melalui serangan twitter, forum dan kemuncaknya setakat ini, Protes Pensel Merah Sabtu lalu.

Saya menyertai ketiga-tiganya, paling kurang sebagai pemerhati. Dan saya perhatikan, ia ternyata perjuangan yang relatifnya sunyi, dengan halangan besar dan musuh seperti raksasa.

Seratus pengamal media berdiri di bawah lebat hujan menuntut hak mereka. Walaupun ada ‘by-standers’ yang menyokong, lebih ramai yang kelihatan tertanya-tanya, atau berlalu sahaja selepas berhenti sekejap untuk tengok-tengok apa yang berlaku. ‘Kebebasan media’ tidak menangkap benak rasa sepantas ‘turun harga minyak’.

Musuh di hadapan pula adalah kerajaan yang berkuasa – bagi sebuah negara bernama Malaysia. Di sini, sebaik mana pun kepala yang memimpinnya, jarang bertolak ansur dengan media. Mogok Utusan Melayu terjadi pada 1961, ketika Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri.

Jadi, Apa yang saya nampak adalah sejumlah pengamal media melawan raksasa yang sangat berkuasa – duduknya lebih tinggi daripada undang-undang dan boleh mengubahnya sesuka hati.

Kisah di Oran

Berdekad lalu bertempat di Oran, Algeria, dikisahkan sekumpulan manusia yang berhadapan dengan musuh yang cukup berkuasa – satu wabak misteri yang meragut nyawa.

Ia datang dengan amaran yang cukup singkat. Secara tiba-tiba, ribuan tikus keluar daripada sarangnya dan mati di jalan-jalan. Bangkai dikumpul dan dibakar. Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang mendapat wabak dan hilang nyawa.

Wabak itu menguasai perjalanan hidup, seterusnya menjadi norma kepada penduduk Oran. Sempadan ditutup, perkhidmatan keretapi terhenti. Barang keperluan asas jadi barang rare. Kota mati.

Angka kematian diumumkan setiap minggu, sentiasa meningkat. Penduduk mula berputus asa. Yang tinggal hanya doa – agar wabak itu tidak mengetuk pintu rumah mereka yang tertutup rapat.

Dr Bernard Rieux pula sebaliknya, sejak daripada awal berdiri di barisan hadapan bagi menghadapi raksasa itu. Bersama beberapa orang lagi – paling menonjol, Jean Tarrou – membentuk pasukan sukarela bagi melawannya dan menyelamatkan penduduk. Pada masa sama, Raymond Rambert, wartawan asing yang terperangkap, tidak putus-putus mencari lubang menyeludup keluar daripada bandar itu.

Selain mengetuai hospital, dia bersama-sama Tarrou melawat rumah untuk memeriksa mangsa, yang selalunya berakhir dengan mangsa diangkut ambulans ke pusat kuarantin. Apa yang pada mulanya untuk mengelak wabak tersebar dan rawatan lanjut diberikan, menjadi prosedur menuju kematian.

Rieux merasakan dirinya menjadi malaikat maut yang menghantar pesakit ke lubang kuburnya..

Mogok Utusan Melayu ke Protes Pensel Merah

Perjuangan kebebasan media di Malaysia mengiringi perjalanan negara, sejak merdeka hingga kini. Satu tempoh panjang, berhadapan pemerintah yang bersilih ganti namun berkongsi ketakutan sama. Daripada Mogok Utusan ‘61 hingga Protes Pensel Merah ‘14, dan entah apa lagi selepas ini.

Bagi Rieux, dia sedar berdepan dengan kematian adalah perlawanan yang pasti kalah. Dia cuma terus berlawan kerana itu adalah satu-satunya peranan yang tersedia untuknya. Tugas doktor adalah merawat kesakitan.

Begitu juga dengan pengamal media. Peranannya adalah menjadi pengamal yang benar, dan menjadi tugasnya melawan apa sahaja yang menjadi penghalang.

Di Oran, kesungguhan Rieux dan Tarrou menarik ramai orang untuk bersama-sama, termasuk Rambert, yang membatalkan niat untuk melepaskan diri, walaupun pintu sudah dibuka.

Akhirnya, wabak yang meragut nyawa beribu manusia hilang begitu sahaja. Bukan sangat kerana ‘ubat’ yang berjaya membunuh lawan, tetapi lantaran perjuangan yang tidak pernah padam.-Roketkini,com