Berita

DAP gesa Najib beri jaminan tiada lagi ISA

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI: DAP hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil memberi jaminan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan diperkenalkan semula.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim berkata, Najib tidak boleh lagi membisu berhubung isu berkenaan, seperti mana serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) tempoh hari yang mengecewakan banyak pihak.

Walaupun ada menteri daripada UMNO sendiri yang membantah cadangan itu, katanya lagi, ia tidak memadai selagi tiada jaminan Najib selaku Perdana Menteri.

“Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sudah meminta semua pihak menerima hakikat bahawa era ISA sudah berlalu…Namun, hanya menunggu jaminan daripada Perdana Menteri sendiri.

“Justeru, saya menggesa Najib segera menyatakan dengan jelas kepada umum yang akta zalim ISA tidak akan dikembalikan,” katanya.

Pada 9 Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan ISA dikembalikan dengan alasan lapuk, kononnya untuk mengekang minoriti ekstremis yang mengancam kestabilan negara.

Keesokannya, cadangan itu mendapat sokongan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengundang kritikan banyak pihak.

Teresa Kok menyifatkan cadangan itu tidak mengejutkan, kerana Mahathir sememangnya tidak pernah berpegang kepada nilai dan prinsip sebenar demokrasi.
“Salah guna paling teruk ISA adalah dalam Operasi Lalang 1987, di mana lebih 100 individu ditahan tanpa bicara. Ketika itu Mahathir adalah Perdana Menteri,” katanya lagi.

Menurut beliau, Najib juga perlu memberi jaminan bahawa Mahathir tidak akan ‘kembali’ ke Putrajaya untuk membantu kerajaan Persekutuan seperti yang dicadangkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Ahli Parlimen Seputeh itu juga ditahan ISA pada 12 September 2008 selama tujuh hari.

“Selepas ditahan tujuh hari kononnya untuk siasatan, polis gagal keluarkan apa-apa bukti saya terbabit menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

“Mereka hanya tanya beberapa soalan berdasarkan artikel fitnah (Pengarang Kanan Utusan) Zaini Hassan bertajuk ‘Azan, jawi JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya. (Malah) Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo yang komennya menyebabkan saya ditahan juga sudah minta maaf,” tambahnya. -Roketkini.com