Berita

Boleh demonstrasi di Pulau Pinang, tetapi kenapa perlu timbul ugutan 13 Mei?

GEORGE TOWN, 19 JAN – United Malays National Organisation (UMNO) menimbulkan ugutan 13 Mei untuk memainkan api perkauman dan agama bagi mengelak dari bertanggungjawab terhadap kenaikan kos sara hidup.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini berkata meskipun UMNO Pulau Pinang mesti dikutuk kerana masih hidup dalam masa lalu dan memainkan ancaman 13 Mei sekali lagi, mangsa sebenar adalah gagasan 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Maka tiada siapa yang terkejut apabila 1Malaysia kini amat jarang jika pun masih disebut hari ini oleh UMNO atau BN,” ujar beliau.

UMNO Pulau Pinang telah mengadakan demonstrasi di Seberang Jaya membantah flash mob tema-kangkung oleh ADUN PKR Machang Bubuk Lee Khai Loon yang kononnya mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perhimpunan 700 orang UMNO Pulau Pinang itu telah dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican serta pemimpin Perkasa Pulau Pinang.

Di perhimpunan tersebut, kelihatan kain rentang menyebut ‘Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 berlaku … Mahu lagi?’

“Ancaman ini adalah satu pengakuan yang tersirat oleh UMNO bahawa mereka adalah penyebab tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang menyebabkan kehilangan beribu nyawa tidak berdosa,” tambah Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau lagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak ada masalah dengan demonstrasi awam UMNO terhadap sesiapa sahaja asalkan dalam keadaan aman.

“Kami ingin mengingatkan pihak polis untuk membenarkan demonstrasi aman yang sama oleh PR pada masa akan datang.

“Perhimpunan UMNO cepat bertukar perkauman apabila pemimpin tertinggi DAP telah menjadi sasaran sedangkan Lee Khai Loon dari PKR.

“Adakah DAP menjadi sasaran mudah UMNO kerana pimpinan tertinggi kami adalah orang Cina, tidak seperti pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang Melayu?” soal Guan Eng.

Menurut beliau lagi UMNO berada dalam kedudukan rapuh di Pulau Pinang kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang tidak melaksanakan sebarang kenaikan harga dalam perkhidmatan tempatan di bawah kawalannya.

“Cukai taksiran, cukai tanah, bayaran lesen perniagaan dan tarif air tidak meningkat seperti yang dilakukan oleh BN terhadap gula, tarif TNB, petrol dan lebuhraya tol,” tambah Guan Eng lagi.

Menurutnya, bagi mengelakkan daripada bertanggungjawab terhadap kenaikan harga dan rasuah, UMNO tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyemarakkan api kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu bagi mengekalkan cengkaman mereka ke atas undi orang Melayu. – Roketkini.com