Rencana

13 Mei dan ‘Jalan Terus’ – Edry Faizal

SEKITAR 2010, sebagai sebuah parti sosial demokrasi di Malaysia, DAP cuba merancakkan wacana “Jalan Tengah” atau gelaran lainnya “Malaysia Pertengahan”. Sesuatu yang mirip dengan gagasan “Third Way” cetusan Anthony Giddens.

Sosial demokrasi terkenal sebagai kerangka politik untuk mendamaikan kuasa pasaran dan kuasa warga yang sering dilihat bercanggahan antara satu sama lain. “Jalan Tengah” pula satu kesinambungan dalam konteks Malaysia untuk mengangkat semangat kesederhanaan dalam politik.

Namun melihat situasi semasa, sebelum wacana “Jalan Tengah” dikembangkan lebih lanjut, ada baiknya satu lagi gagasan diambil semangatnya, gagasan “Jalan Terus”.

Seperti mana insan yang mengalami konflik cinta, pilihan yang baik adalah “Jalan Terus” dan bukannya tersekat dengan kenangan pahit. Sehingga boleh membunuh diri!

Kenangan pahit

Kalaulah ada satu peristiwa dalam sejarah Malaysia yang kerap dikenang dan diungkit. Pastinya peristiwa itu bukanlah Hari Kemerdekaan Malaya atau detik tertubuhnya Malaysia. Tetapi konflik berdarah yang sering dipanggil dengan nama “13 Mei”.

Persis Zombi, peristiwa itu seringkali ‘dipuja-puja’ supaya bangkit daripada ‘kubur’ ruang dan waktu, tahun 1969.

Jangan salah faham, tidaklah saya bermaksud sesetengah sejarah itu mesti dipadam. Tidak sama sekali. Paling kurang, sejarah meluaskan pemandangan dan kesedaran kita terhadap masa, mengingatkan kita bahawa zaman kita ini cuma cebisan daripada jangka hayat kemanusiaan.

Namun sejarah juga boleh dijadikan senjata untuk berkuasa dan menguasai. Bagi yang pernah membacanya tidak mungkin boleh lupa ungkapan di dalam novel Ninety Eighty Four:

“Sesiapa yang mengawal masa lalu menggenggam masa depan: sesiapa yang mengawal masa kini menggenggam masa lalu.”

Kembali kepada 13 Mei sebagai satu daripada cebisan sejarah. Jujurlah, sehingga detik ini apakah cebisan sejarah 13 Mei itu menjadi sejarah yang menyedarkan. Atau lebih cenderung kepada apa disebutkan di dalam Ninety Eighty Four?

Cui bono?

Sorot kembali kejadian yang berlaku tidak begitu lama dulu. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013, bagi yang mengikuti dengan dekat kempen parti yang bertanding pasti mendengar kembali propaganda 13 Mei dicanang.

Beberapa hari lalu, muncul pula demonstrasi yang merupakan reaksi kepada ‘flash mob’ bertema kangkung oleh Adun PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Malang sekali demonstrasi yang dikepalai pemimpin UMNO Pulau Pinang itu tidak menjadikan ‘belacan’ sebagai lawan kepada ‘kangkung’. Sebaliknya mengangkat sepanduk, “Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 terjadi… Mahu lagi kaa?”

Mengapa sejarah 13 Mei ini seringkali diheret ke kancah politik dan dilihat sering digunakan pihak yang sama untuk mencederakan lawan? Sehingga ada yang bertanya mengapa setelah lebih 40 tahun berlalu kita masih perlu ditakutkan olehnya?

Tidak aneh apabila semakin ramai cenderung percaya bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah satu konspirasi golongan pelampau nasionalis yang mahu berkuasa. Mengapa tidak, melihat bagaimana peristiwa sejarah itu dihayunkan bak pedang pada masa kini, tentu akan ada yang tertanya, “Cui bono?”

Cui bono atau siapa yang mendapat manfaat daripada sesuatu perbuatan salah. Jika dilihat setiap kali muncul momok 13 Mei, pihak yang dilihat menuai manfaat seringkali golongan yang cenderung mengamalkan politik perkauman.

13 Mei menjadi simbol pemberitahuan bahawa mereka berkuasa kerana mereka bersedia untuk membakar sentimen kaum. Legitimasi kuasa bukan lagi daripada akal budi warga sebaliknya kebencian antara kaum yang tidak pernah cuba dipadamkan.

Kewujudan bersama

Zaman terus berjalan dan berubah, maka sepatutnya warga Malaysia “Jalan Terus”. Bukannya terus dibebankan dengan masa lalu yang hanya menjadi alat bagi sesetengah pihak.

Persaudaraan yang mengikat setiap warga Malaysia sepatutnya bukan lagi bersandarkan keturunan dan rupa (etnik). Tetapi persaudaraan bersandarkan nilai, yakni tindakan dan cara fikir yang serupa.

Dengan matlamat supaya kebaikan dapat meliputi semua warga tanpa mengira keturunan, agama dan kelas.

Fokus yang lebih harus diberikan bagi membentuk nilai bersama. Bukannya terus melebarkan jurang. Sekiranya untuk wujud bersama sebagai satu komuniti manusia merupakan impian yang terlalu besar. Bilakah mahu mula belajar untuk hidup sekurang-kurangnya sebagai warga Malaysia?

Politik tidak dapat ditarik keluar daripada tanggungjawab mengusahakan keadaan ideal itu. Sekurang-kurangnya tidak pada ketika media yang membentuk wacana itu masih dikuasai sesetengah pihak. Yang mana itu sendiri merupakan salah satu kesan politik.

Maka perlulah sekalian warga jelas pihak mana di dalam gelanggang politik yang mahu “Jalan Terus”. Pihak mana yang masih tidak nampak jalan, tersekat dalam masa lampau yang direkanya sendiri.

Tidak ada jalan mudah. Barangkali penyelesaiannya bukan dengan memilih “Jalan Tengah” atau “Jalan Terus” tetapi kedua-duanya sekali. Seiring dan sejalan.-Roketkini.com