Rencana

Kegagalan UMNO tangani jenaka ‘kangkung’ – Izmil Amri

HAMPIR satu minggu saya menanti apa agaknya reaksi pemimpin dan penyokong United Malays National Organisation terhadap isu kangkung yang saban hari menjadi bahan ketawa, bukan sahaja di Malaysia malah di kalangan masyarakat antarabangsa.

Di media sosial, jenaka mengenai kangkung tidak henti-henti. Ada muzik parodi di Youtube yang boleh dimuat turun bikin ringtone, ada visual kelakar di Facebook serta perkongsian jenaka dengan hashtag #kangkung yang bertali arus di Twitter.

Di dunia offline, kian banyak aksi rakyat membabitkan kangkung termasuk bergambar dengan kangkung, beli kopi dengan bayaran kangkung, malah balut topi keledar dengan kangkung dalam Community Ride hujung minggu lalu. (lihat gambar). Hatta apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang masuk ke Jepun juga dikatakan kerana tidak membawa kangkung ke sana.

Satu minggu saya tunggu apa reaksi UMNO. Saya sangkakan mereka ini akan buat tak reti sahaja. Tapi saya salah. UMNO dan juaknya tidaklah begitu bijak dalam menangani situasi sebegini. Justeru setiap langkah yang diambil menemui jalan buntu dan ada yang menuju kelingkupan.

Kalau untuk ‘handle’ benda macam ini pun saya kena ajar, alahai. Teruk sangat la.

Reaksi terhadap isu kangkung mulanya berkisar penjelasan. Ini saya puji. Betul dah tu. Apabila sesuatu yang disebut pemimpin kita dikerat-kerat dan dijadikan bahan propaganda, kita tampil untuk berikan penjelasan. Saya harus puji Ketua Pemuda UMNO, saudara Khairy Jamaluddin kerana bingkas memperjelaskan kekeliruan umum mengenai kenyataan bosnya.

Cuma yang menjadi masalah ialah penjelasan sahaja tidak mencukupi. Mudahnya disebabkan soal ‘kangkung’ ini tidak memerlukan sebarang penjelasan lanjut. Videonya ada, kita boleh tonton sama-sama. Sumbernya juga daripada TV3. Jadi tak perlu banyak penjelasan. Nampak sangat macam terlalu jenuh mencuba.

Yang menjadikan keadaan bertambah parah ialah reaksi melebih-lebih daripada sektor penyokong UMNO yang pedih bontot dengan jenaka yang terkena kepada pemimpin mereka ini. Jadi disebabkan sudah pedih maka tindak balasnya jadi melampau. Daripada isu ekonomi dan betapa susahnya Perdana Menteri hendak memahami sengsara rakyat, terus dilambung menjadi isu perkauman.

Bila sampai tahap ini, saya sekadar boleh tepuk dahi dan berbisik perlahan kepada diri sendiri, ‘Aku dah agak dah’. Itu belum diambil kira lagi soal sekatan akses internet ke laman laporan berita BBC tentang jenaka kangkung ini.

Kangkung = Cina = DAP

Sifirnya mudah. Kangkung makanan orang Cina, yang banyak berniaga kangkung selalunya orang Cina; jadi kalau Cina saja mesti DAP, kalau DAP ni mesti anti Melayu-Islam dan justeru wajar ‘diperangi’. Lalu timbullah perhimpunan kangkung di Bukit Mertajam dengan poster menampilkan seorang brader siap berpakaian tradisional dan menghunus parang.

Mudah sungguh kerja begini. Asal Cina saja DAP, asal DAP saja anti Islam. Jadi bikin demo di Pulau Pinang kerana negeri itu dipimpin Ketua Menteri daripada DAP. Malah ADUN Machang Bubuk daripada KEADILAN yang bikin flashmob sumbat kangkung dalam mulut Najib itu juga dilabel DAP tanpa usul periksa. Mudahnya kerana Lee Khai Loon itu orang Cina.

Ini bagi saya sangat kelakar. Buat perhimpunan kangkung ini untuk apa sebenarnya? Apa mesej yang mahu disampaikan selain ancaman dan ugutan kepada bukan Melayu-Islam supaya tidak mencabar kesabaran Melayu-Islam. Supaya gerun dan ingat kembali kisah parang terbang. Ini kedangkalan yang menghina intelek Melayu zaman ini. Sebagai seorang Melayu saya rasa ini sangat merendahkan akal. Dan mereka yang terjerumus ke lembah kebodohan ini adalah daripada kalangan manusia yang malang.

Sebelum ini pun amaran diberi beberapa pemuka orang muda UMNO supaya jangan menghina dan mengejek Perdana Menteri. Dan bagi saya amaran begini tambahlah kelakar.

Dulu lembu, sekarang kangkung

Dulu perkataan seperti cincin, Altantuya, C4, mongolia, kapal selam, semuaaaaanya jadi bahan jenaka. Malah akan terus jadi bahan jenaka. Pemuda UMNO boleh ugut macam-macam tetapi ia harus sedar, kerajaan yang mahu diam punya itu hanya menang 47% sokongan rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor pula dilaporkan berkata, “Saya sudah beritahu mereka ini bodoh. Main isu kangkung ini bodoh. Dia tidak tahu konotasi maksudnya kerana kangkung ni jenis sayuran yang murah dan boleh ditanam di merata-rata.”

Maksud dan konotasi tu tak penting, Ku Nan. Yang penting kelakar. Jenaka. Kalau sebut perkataan ‘kangkung’ pun sudah pedih, nasiblah. Bodoh atau pandai bukan soalnya. Yang penting bila sebut kangkung semua orang ketawakan Perdana Menteri. Macam bila sebut ‘lembu’ semua orang ketawa.

Amat malang bagi UMNO kerana tidak mampu menangani jenaka politik seperti ini, malah memilih untuk mengambil pendekatan gasar. Apa sahaja isu akan dijadikan modal untuk membakar sentimen perkauman dan akhirnya meletakkan slogan ‘13 Mei’ di hujung lidah. Ini sangat malang dan celaka sekali kepada gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri. Tidak lain, inilah dalil kegagalan dasar kerajaan ditafsirkan pendokong yang akhirnya bertindak menggagalkan dasar itu.

Saya pasti di dalam pejabat Perdana Menteri itu ada ramai sekali orang cerdik pandai yang dibayar gaji beribu-ribu untuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri mengenai hal seperti ini. Kalau minggu depan pilihan raya, kalah teruklah Barisan Nasional.

Persoalan besarnya ialah; kos sara hidup meningkat. Harga barang tak ada yang turun. Malah harga kangkung pun sebenarnya tidak turun. Najib manalah nak tahu, dia bukan pergi pasar. Bil elektrik anda hujung bulan ini entah bagaimana keadaannya. Perbelanjaan bulanan akibat daripada kenaikan harga gula dan bahan bakar pastinya akan terkesan. Itu pokok pangkal isunya.

Yang mesti lari daripada isu kegagalan mengurus ekonomi dan bikin demo kangkung untuk cetus ketegangan kaum ini kenapa? Sebab sudah putus asa menguruskan ekonomi dan membela nasib rakyat terbanyak? Adakah dengan mencetuskan huru hara maka harga minyak akan turun? Adakah dengan mengugut dengan sentimen perkauman maka seluruh sokongan orang Melayu akan kembali kepada UMNO?

Ini yang kelakarnya dengan parti United Malays National Organisation ini, ia gemar berbuat perkara berasaskan emosi dan tidak merancang teliti dengan akal waras dan memandang jauh ke hadapan. Ini punca kegagalannya di Pulau Pinang, Selangor dan ini dipertimbangkan pengundi di semua kawasan parlimen bandar dan sub-bandar yang punya akses maklumat kepada kegagalan ini.

Apa lagi yang UMNO tahu buat selain mencetuskan masalah? UMNO pastinya akan menjadi johan kalau rancangan televisyen Pencetus Ummah itu ditukar jadi Pencetus Masalah. Betul-betul ‘kangkung’. – Roketkini.com