Rencana

Surat terbuka ke-2 Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang kepada PM dan Kabinet

Saya mengambil kesempatan daripada zaman teknologi maklumat yang membolehkan maklumat disampaikan sepantas kilat untuk menulis surat terbuka kedua tahun ini kepada Perdana Menteri dan Menteri Kabinet sebelum mesyuarat Kabinet ketiga tahun ini bersidang, hari ini.

Anggota Kabinet yang gagal membaca atau mendapat tahu mengenai surat terbuka ini sebelum mesyuarat Kabinet bermula boleh dianggap ketinggalan zaman dan tidak layak menjadi anggota Kabinet dan mereka sepatutnya dipinggirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam penyusunan semula Kabinet.

Dalam surat terbuka yang pertama kepada Perdana Menteri dan Kabinet sebelum mesyuarat pertama Kabinet pada 8 Januari lalu, saya menggesa agar Kabinet menyatakan mesej jelas untuk memulihkan kepimpinan dan membetulkan hala tuju negara ke arah membentuk negara Malaysia yang bersatu, harmoni, adil, berdaya saing dan agung.

Dalam surat itu saya menyebut secara khusus lima krisis yang perlu diberi keutamaan dan perhatian segera Kabinet iaitu:

1. Krisis pembinaan negara dan perpaduan nasional yang jelas jurang kaum dan keagamaan paling lebar dalam sejarah negara, menjejaskan matlamat membentuk bangsa Malaysia seperti yang disebut dalam Wawasan 2020 dan dasar IMalaysia Najib sendiri.

2. Krisis ekonomi yang semakin lebar, disebabkan oleh peningkatan harga yang berlaku dan bakal terjadi secara lebih meluas dan akan mencapai kemuncaknya apabila GST enam peratus diperkenalkan pada April 2015.

3. Krisis rasuah yang tidak ada usaha serius untuk menanganinya di peringkat tinggi (grand corruption) dan mengakhiri pembaziran dan salah guna wang rakyat secara besar-besaran.

4. Krisis kemerosotan tahap pendidikan nasional sehinggakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengelak menyentuh mengenai pencapaian buruk Malaysia dalam TIMSS 2011 dan PISA 2012.

5. Krisis keselamatan dan keamanan warga, pelabur dan pelancong memandangkan polis belum berubah menjadi sebuah pasukan yang cekap, bebas dan profesional bertaraf dunia yang menjalankan tugas secara demokratik dan bukan hanya “mempertahankan rejim” sehingga sanggup bertindak melanggar norma hak asasi manusia antarabangsa.

Dua minggu sudah berlalu sejak saya menulis surat terbuka pertama kepada Perdana Menteri dan Kabinet.

Malangnya, kerajaan Najib yang tidak berpemimpin, tidak berteraju, serta dalam kebingungan itu terus hanyut tanpa arah sejak dua minggu lalu, tanpa ada sebarang penyelesaian ditawarkan bagi menangani lima krisis yang disebutkan itu.

Daripada banyak segi, keadaan dalam negara semakin buruk sejak dua minggu lalu.

Sebagai contoh, Kabinet belum menegaskan semula Penyelesaian 10 Perkara yang disahkan Kabinet pada April 2011 untuk merungkai kontroversi Al-Kitab. Kabinet sendiri nampaknya tidak sekata mengenai Penyelesaian 10 Perkara itu apabila Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri lain menyimpang daripada Penyelesaian 10 Perkara.

Sejak 10 hari lalu, Najib dan Kabinet dilanda “tsunami kangkung” sehingga mereka diperolok-olokkan menerusi jenaka, video, satira, komedi dan lakaran, mencambahkan produk seperti Kangkung Fried Chicken, Burger McKangkung, malah merentasi sempadan antarabangsa sehingga “kadar kangkung” menjadi bahan berita dalam BBC, Channel News Asia, Singapore Straits Times, Jakarta Post dan lain-lain.

“Kangkung” juga menjadi kegilaan dalam Internet dengan tiga video mencatatkan 1.2 juta tontonan di YouTube: “kangkung remix feat. Najib” oleh Yuri Wong mencatatkan 735,000 tontonan, video “Ucapan Najib ‘kangkung’ hangat di alam maya” mencatatkan 410,000 tontonan, manakala The Effing Show #99 “Let Them Eat Kangkung” pula menjadi item paling hangat dalam siri “popteevee” apabila mencatatkan 125,000 tontonan dalam masa lima hari.

Dalam suasana sebegini ancaman “13 Mei” muncul untuk menghasut orang ramai menggunakan isu yang sebenarnya tiada kena-mengena dengan soal kaum dan sebaliknya hanya berkait dengan rasa tidak senang rakyat Malaysia daripada semua kaum, termasuk Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Iban melihat keangkuhan dan sikap tidak peduli kerajaan terhadap penderitaan rakyat berikutan kenaikan harga barang.

Satu contoh hasutan perkauman dan keagamaan yang berbahaya boleh dilihat pada tunjuk perasaan oleh UMNO Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lalu sebagai respons terhadap flash mob “kangkung” yang diadakan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon di mana kangkung disumbat ke mulut potongan kadbod Perdana Menteri.

UMNO Pulau Pinang dan sekutu mereka menggambarkan protes flash mob kangkung itu sebagai serangan terhadap Perdana Menteri Melayu oleh kaum Cina, satu gambaran yang menyimpang daripada kebenaran.

Seperti yang disebut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu: “Saya Melayu tapi saya tidak merasa terhina.”

Perbuatan memutar-belit isu kenaikan harga menjadi isu perkauman itu adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan malah boleh dianggap perbuatan jenayah.

Sememangnya sebahagian rakyat Malaysia merasa bahawa ada batas yang tidak harus dilangkah dalam sebarang protes, antaranya menghormati jawatan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, Menteri Besar, atau Ketua Menteri agar wacana politik dapat berlangsung secara beradab. Pandangan ini dianuti oleh rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama.

Ketika saya menyarankan kepada Lee agar mempertimbangkan permohonan maaf atas insiden dalam flash mob itu yang boleh dianggap tidak menghormati jawatan Perdana Menteri, saya tidak bermaksud bahawa beliau perlu meminta maaf kepada samseng, kerana saya setuju bahawa kita tidak harus tunduk pada ugutan atau sebarang bentuk keganasan.

Saya ditanya sama ada kalangan yang menunjukkan sikap tidak hormat terhadap penyelaras Bersih Datuk Ambiga Sreenivasan menerusi “tarian punggung” atau kepada Ketua Menteri Pulau Pinang menerusi kek tahi dan insiden pengkebumian juga perlu meminta maaf. Bagi saya, mereka perlu meminta maaf, namun tidak perlu saya menyatakan sedemikian secara terbuka kerana ia terpulang pada pihak yang melakukan tindakan keji dan tidak selayaknya bagi seseorang warga Malaysia.

Memandangkan Lee sudah membuat keputusan, maka elok kita ketepikan perkara itu.

Kabinet perlu memperkatakan soal kempen terancang oleh satu kelompok yang tidak bertanggungjawab untuk mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan bagi menimbulkan situasi seperti 13 Mei bagi menggoncang negara seperti yang berlaku akhir minggu lalu.

Apakah Kabinet hari ini bersedia mengambil pendirian tegas bagi menghentikan perbuatan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan yang bertujuan menimbulkan satu lagi situasi seperti 13 Mei?

Lebih khusus lagi, apakah pemimpin Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bekerjasama dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) bagi memastikan insiden 13 Mei tidak berulang di Malaysia dan membincangkan isu berkaitan kepentingan negara bagi memulihkan keyakinan rakyat dan warga dunia.-Roketkini.com