Rencana

Antara DAP dan Gerakan, sama tapi berbeza – Muhammad Nazreen

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) ditubuhkan setahun selepas DAP ditubuhkan pada 24 Mac 1968 oleh Professor Syed Husien Al-Atas dan Dr Tan Chee Kon, yang ketika itu adalah tokoh gerakan buruh atau ‘trade unionist’ yang berpengaruh. Pada awalnya, Gerakan mewakili citra masyarakat berbilang kaum di Malaysia untuk menuntut sebuah negara yang berpaksikan agenda keadilan sosial dan tunggaknya adalah sosialisme. DAP pula adalah sebuah parti politik yang berkongsi cita-cita murni Gerakan ini.

Professor Syed Husin Al-Atas berjaya meyakinkan tokoh politik dari Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu untuk menyertai Gerakan. Pergelutan politik di antara penyokong Chong Eu dan seorang lagi tokoh MCA, Tun Tan Siew Sin berikutan pindaan perlembagaan yang membolehkan sistem ‘satu ahli satu undi’ pada 1958, menyebabkan Lim Chong Eu tidak lagi berminat dengan hala tuju politik MCA.

Lim Chong Eu menubuhkan United Democratic Front pada 1962 apabila mengumumkan untuk keluar daripada MCA pada 1960. United Democratic Front menjadi semakin berpengaruh di Pulau Pinang. Karisma politik yang dimiliki Lim Chong Eu menyebabkan masyarakat Cina di Pulau Pinang semakin mendekati United Democratic Front sebagai alternatif kepada MCA (yang ketika itu dilihat sebagai parti yang hanya menjaga kepentingan golongan elit masyarakat Cina). Beliau bersama-sama Dr Cheah Toon Loke memimpin United Democratic Front sebelum bersama-sama menubuhkan Gerakan.

Dalam beberapa pertemuan bersama Dr Tan Chee Kon, K Siladas dan Prof Syed Husin Al-Atas, Lim Chong Eu bersama-sama menyatakan hasrat menggerakkan parti politik yang berasaskan agenda yang berbilang kaum dan dengan itu tertubuhlah Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau Gerakan pada 24 Mac 1968.

Berikutan kemasukan Lim Chong Eu ke dalam Gerakan, parti ini mendapat sokongan masyarakat Cina di Pulau Pinang. Pada masa yang sama, ramai anak muda yang berkelulusan universiti sudah mula mendekati Gerakan kerana tertarik dengan idea negara bangsa Malaysia yang dimanifestasikan Gerakan. Cita-cita politik dan idealisme yang hampir serupa di antara Gerakan dan DAP mendorong mereka bersama-sama dalam sebuah gabungan politik menjelang Pilihan Raya Umum 1969. Kekuatan idealogi yang dimiliki DAP-Gerakan membantu mereka menang besar pada Pilihan Raya Umum 1969.

Pada Pilihan Raya Umum 1969 iaitu pilihan raya umum yang pertama diadakan di seluruh negara, gabungan tidak langsung di antara DAP dan Gerakan berjaya memperoleh keseluruhan 13 kerusi (DAP) dan 8 kerusi (Gerakan) dan sekaligus Gerakan mentadbir Pulau Pinang bersama-sama DAP. Masyarakat bandar terutamanya masyarakat kaum Cina mula melihat DAP dan Gerakan sebagai parti yang memperjuangkan agenda yang inklusif dan terbuka untuk semua kaum. Hal ini berbeza dengan ideologi parti MCA yang hanya memperjuangkan nasib masyarakat Cina secara khusus, tetapi bukan sebuah parti politik berbilang kaum.

Dr Lim Chong Eu dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama 21 tahun daripada 1969 hingga 1990. Tidak lama selepas kemenangan besar Parti Gerakan dan DAP, peristiwa rusuhan antara kaum tercetus di kalangan masyarakat Cina dan India. Kemudian, sidang Parlimen ditangguhkan selama dua tahun dan kembali berfungsi pada 1971. Tun Razak menubuhkan jawatankuasa Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bertujuan menyiasat semula tragedi 13 Mei dan merangka semula kebijakan sosial bagi memurnikan ketegangan kaum di antara masyarakat Melayu dan Cina.

Tidak lama selepas itu, pada 1971 – Lim Chong Eu dijemput oleh Tun Razak untuk menyertai Perikatan bersama UMNO, MIC dan MCA. Lim Chong Eu yang ketika itu memimpin Gerakan bersetuju menyertai Perikatan dan sekaligus meninggalkan DAP yang kekal sebagai parti pembangkang. Perbuatan ini tidak disenangi beberapa pengasas awal Gerakan termasuk Profesor Syed Husin Al-Atas dan Dr Tan Chee Kon. Mereka bertindak keluar daripada Gerakan dan menubuhkan Parti PEKEMAS pada tahun yang sama, namun jangka hayatnya tidak bertahan lama.

Lim Chong Eu kekal memerintah Pulau Pinang menerusi parti Gerakan dan dianggap sebagai ‘arkitek moden Pulau Pinang’ atas sumbangannya terhadap pembangunan negeri sepanjang pemerintahan beliau. Di bawah Chong Eu, parti Gerakan yang pada awalnya memperjuangkan idealogi sosialisme sederhana bertukar wajah menjadi parti politik berideologikan demokrasi liberal sekaligus memperjuangkan sistem pasaran bebas. Sikap ‘pro-bisnes’ yang dimiliki Lim Chong Eu meyakinkan lagi hujah bahawa Gerakan mengalami proses evolusi idealogi daripada kiri sederhana kepada ‘centrist’ yang sedikit ke kanan. Malah, Gerakan adalah ahli kepada Asian Council of Liberal Democrats. Beliau kekal mentadbir Pulau Pinang sehinggalah 1990, apabila kalah kepada gergasi DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum 1990 bagi merebut kerusi Tanjong.

Deklarasi Setapak dan demokrasi kebudayaan

Deklarasi Setapak memainkan peranan yang amat besar di dalam pembentukan ideologi DAP. Seperti yang dikupas oleh penulis sebelum ini, keunikan dokumen ini terletak pada keinginan sekelompok rakyat Malaysia yang bercita-cita memperjuangkan sosialisme dan pada masa yang sama mereka menolak ideologi komunisme yang radikal dan ekstrim. Oleh yang demikian, sekumpulan anak muda (ketika itu) seperti Dr Chen Man Hin, Goh Hok Guan, Muhammad Nor Jetty, C V Devan Nair dan Lim Kit Siang memutuskan bahawa sebuah parti politik harus ditubuhkan. Lantas, tertubuhlah DAP pada Oktober 1965.

Berikutan pemisahan Singapura daripada Malaya pada tahun yang sama, ada sebahagian daripada pengasas DAP merupakan ahli kepada People’s Action Party (PAP). Harus difahami bahawa ketika ini, PAP masih lagi memperjuangkan dasar ‘Malaysian Malaysia’ yang inklusif tanpa mengira kaum dan agama.

Malah, Tan Sri A Samad Ismail, tokoh wartawan negara juga merupakan seorang daripada pengasas awal parti PAP. Namun, apabila Lee Kuan Yew memimpin PAP sejak 1955, banyak dasar PAP yang ditentang ahli PAP di tanah Melayu termasuk CV Devan Nair.

Perkara ini sama di dalam mana-mana parti politik. Misalnya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada awalnya di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad Fuad adalah Majlis Penasihat Agama Islam,  sayap ulama’ di dalam parti UMNO, kemudian PAS berdaftar sebagai sebuah parti politik yang bebas pada 1951 sebelum Tuan Haji Ahmad Fuad keluar daripada UMNO untuk menyokong perjuangan Datuk Onn Jaafar dan Parti Negara. Jadi, adakah PAS dan UMNO saling setuju antara satu sama lain? Sudah tentu tidak dan begitu juga kedudukan DAP dan PAP yang tidak ubah seperti UMNO dan PAS. Mereka hanya berkongsi nilai sejarah yang sama. Tidak lebih daripada itu.

Penubuhan DAP merupakan timbal balik daripada kejayaan awal PAP menyatukan golongan pekerja dan komuniti masyarakat di sana. Namun, hubungan itu kini hanya tinggal sejarah. DAP konsisten menolak dasar kerajaan Singapura yang dikemudi oleh Lee Kuan Yew seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa akta anti-kesatuan buruh yang menyekat kebebasan bersuara di Singapura.

Jadi tuduhan untuk menyamakan DAP dan PAP pada masa ini ternyata tidak berhasil. Malahan, DAP sering dengan keras mengkritik pentadbiran Singapura yang dianggap menyekat kebebasan dan demokrasi masyarakat di Singapura.

Salah satu cita-cita yang diperjuangkan DAP adalah untuk memastikan masyarakat berbilang kaum mendapat hak yang sama rata dan adil di dalam agihan kek ekonomi dan pembangunan sosial. Pada masa yang sama, DAP berazam memperjuangkan Perkara 153 Perlembagaan yang melindungi hak istimewa orang Melayu. Jika dilihat sejak 1960an, DAP masih konsisten di dalam memperjuangkan agenda yang termaktub di dalam Deklarasi Setapak 1967.

Konsep demokrasi kebudayaan ini merujuk kepada polisi kebudayaan DAP yang dipegang sejak dulu. Idea demokrasi kebudayaan ini diterjemahkan ke dalam pelan khusus dan dibincangkan ketika ulang tahun ke-2 penubuhan DAP pada 1 Jun 1968. Demokrasi kebudayaan yang dicorakkan DAP menggariskan 15 tema penting yang meliputi:

  1. Kuota kemasukan ke universiti awam melalu proses meritokrasi

  2. Menuntut layanan sama rata kepada sekolah jenis kebangsaan

  3. Mengiktiraf pendidikan yang mengajar Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tanpa meminggirkan kepentingan bahasa lain seperti Mandarin, Tamil dan Bahasa Inggeris

  4. Melaksanakan program intensif pendidikan terutamanya di kawasan luar bandar menerusi pemulihan yang radikal terhadap sistem pendidikan supaya setiap masyarakat menerima tahap pendidikan yang baik.

Demokrasi kebudayaan yang diperjuangkan DAP ini bersesuaian ke arah pembentukan negara bangsa moden seperti Switzerland. Walaupun Switzerland adalah negara bekas jajahan Perancis ketika pemerintahan Napoleon Bonaparte, namun identiti kebangsaan yang mengakui peri pentingnya pendidikan dan penggunaan bahasa yang inklusif. Akhirnya, konsep demokrasi kebudayaan berjaya membentuk negara Switzerland yang kaya dengan sub-sub budaya masyarakat campuran.

Bersambung di Bahagian Akhir, “Debat Kebudayaan DAP-GERAKAN 1968”– Roketkini.com