Berita

DAP bincang isu perkauman esok

KUALA LUMPUR, 27 JANUARI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan mengadakan satu sesi dialog terbuka pada 28 Januari ini berhubung usaha mencetuskan sentimen perkauman melalui beberapa peristiwa yang berlaku dalam negara kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, sesi itu diputuskan selepas membaca kenyataan bersama 83 aktivis yang meminta beliau menarik semula cadangan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon meminta maaf berhubung protes ‘Kang Kung’ sebelum ini.

“Jelas, mereka tidak memahami kenyataan saya sepenuhnya, atau merasakan sudah memandang isu itu daripada semua sisi. Sesi dialog bersama mereka akan memberi peluang untuk mereka dengar pandangan saya, dan saya mendengar pandangan mereka.

“Isu besar di sini bukan sahaja fenomena ‘Kangkung’, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau Lee Khai Loon, tetapi memburuknya polarisasi kaum dan agama selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana kumpulan tidak bertanggungjawab bebas untuk mengapi-apikan kebencian kaum dan agama,” katanya.

Sebagai reaksi kepada protes ‘Kangkung’ itu, ratusan ahli UMNO berhimpun di Seberang Jaya, Pulau Pinang dengan membawa sepanduk mengancam pengulangan tragei 13 Mei 1969 – antaranya ‘DAP musuh Islam’ dan ‘Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969, adakah anda mahu lagi?’.

Sebelum ini, cadangan Ahli Parlimen Gelang Patah itu agar Lee memohon maaf kepada Najib berhubung protes itu dikritik, kerana dikatakan tunduk kepada ugutan dan keganasan.

Katanya lagi, ia adalah sebahagian daripada perancangan untuk mewujudkan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, seterusnya mencetuskan perbalahan seperti insiden ‘13 Mei 1969’.

Beliau menyebut beberapa insiden, seperti seruan melarang daging babi dijual secara terbuka di Pulau Pinang dan serangan ke atas Timbalan Menteri Pelajaran, P Kalamanathan oleh seorang pemimpin Pemuda UMNO sebelumnya.

“Justeru, saya menjemput semua rakyat Malaysia yang bimbang dengan perkembangan ini untuk menyertai dialog itu Selasa nanti,” katanya lagi.

Dialog itu akan diadakan di Tingkat 4, Ibu Pejabat DAP di Jalan Yew, Kuala Lumpur bermula jam 8.00 malam.

Program itu akan disertai Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong dan akan disertai Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Teo Nie Ching (Kulai), Anthony Loke (Seremban), Tony Pua (Petaling Jaya Utara) dan Ong Kian Ming (Serdang).-Roketkini.com