Rencana

Selamatkan Malaysia, Cintailah Malaysia – Lim Kit Siang

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Kuda kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dan juga kaum-kaum lain, yang semakin ramai di kalangan mereka menyertai Perayaan Tahun Baru Cina.

Semakin ramai rakyat Malaysia yang ikut serta dalam perayaan pelbagai kaum dan agama, seolah-olah perayaan-perayaan ini adalah hari kebesaran negara – ini adalah ciri unik Impian Malaysia.

Ketika lawatan saya ke Johor yang meliputi lima kawasan Parlimen dan 13 kawasan DUN (selain Jementah – saya akan melawatnya dalam tempoh perayaan) bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, saya telah menyampaikan ucapan ‘Selamat Tahun Baru’ kepada masyarakat Melayu dan India, serta mengedarkan buah limau kepada mereka sebagai tanda bahawa tidak kira apa latar kaum, agama, daerah, atau pegangan politik, kita semua adalah anggota sebuah Keluarga Besar – Keluarga Malaysia!

Rakyat Malaysia wajar mewujudkan Perpaduan Malaysia yang lebih meluas menerusi perayaan pelbagai kaum dan agama yang berasaskan daripada nilai-nilai agung ajaran semua agama dan budaya.

Saya percaya bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau pegangan politik, tidak mahu rusuhan 13 Mei berulang.

Saya juga percaya sebahagian besar mereka mahu melihat ada urus tadbir yang baik, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran negara; sikap tegas terhadap rasuah yang akan meletakkan Malaysia di tangga teratas di kalangan negara yang paling rendah korupsi dalam Corruption Perception Index Transparency International; sistem ekonomi saksama, lestari dan berdaya saing yang dapat membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat; serta sistem pendidikan berasaskan meritokrasi yang diakui dunia mampu menghasilkan pelajar-pelajar terbaik dalam ujian penilaian antarabangsa – tidak seperti sekarang, di mana pelajar Malaysia berada di kedudukan sepertiga bawah dalam ujian penilaian antarabangsa.

Malaysia kini berada di persimpangan. Kaum Cina Malaysia bersama-sama masyarakat lain perlu bekerjasama bagi membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi baru, berasaskan prinsip kesetaraan hak dan peluang untuk semua warga.

Kerana itulah penting untuk kita bersuara sebagai rakyat yang patriotik, bagi menyelamatkan Malaysia daripada rancangan jahat sekelompok kecil pengkhianat yang mahu menggoncang kestabilan dalam negara menerusi tindakan mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan, serta meningkatkan ketegangan bagi mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei.

Masyarakat sivil perlu menyusun dan melancarkan kempen ‘mencintai dan menyelamatkan Malaysia’ untuk menghindari pergeseran kaum dan agama.

Tanpa pergeseran kaum dan agama, Malaysia akan menjadi sebuah negara dunia yang berjaya, maju, makmur dan berdaya saing. – Roketkini.com