Berita

Tinjauan Seks di sekolah rendah mengejutkan, JPNS perlu bertanggungjawab

SEREMBAN, 6 FEBRUARI: DAP Negeri Sembilan menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) agar bertanggungjawab ekoran membiarkan tinjauan berhubung isu seks dibuat di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Nilai, walaupun menafikan terlibat menjalankannya.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Senawang, P Gunasekaran berkata, hal itu dibawa kepadanya dan Adun Nilai, J Arulkumar oleh seorang bapa yang terkejut apabila anaknya yang baru berusia sepuluh tahun meminta penjelasan berhubung soalan yang terkandung dalam tinjauan itu.

“Beliau memaklumkan anaknya bertanya apa itu seks, onani dan soalan berkaitan yang lain berdasarkan tinjauan itu,” katanya memetik laman Free Malaysia Today.

Katanya lagi, beliau dan Arulkumar sudah berjumpa dengan Timbalan Pengarah Komunikasi dan Pendaftaran JPNS, Muhamad Rusli Abdullah untuk membuat laporan berhubung perkara itu, selepas gagal bertemu dengan Pengarah, Kalsom Khalid yang menghadiri mesyuarat.

Sementara itu, Arulkumar berkata, beliau dihubungi ibubapa seorang pelajar yang memberitahu anaknya menyertai tinjauan berhubung tabiat dan orientasi seks pada minggu lepas.

Katanya, pelajar diminta menjawab soalan secara objektif (‘ya’ atau ‘tidak’) sepanjang lima muka surat.

“Soalan di halaman tiga mengejutkan. Soalan 2 menanyakan jika pelajar mengamalkan onani. Soalan 4 pula jika mereka ada keinginan seks terhadap jantina sama dan soalan 5 – adakah pernah melakukan hubungan seks?

“Jika ‘ya’, soalan 6 menanyakan sama ada mereka bertukar pasangan; berhubungan seks sama gender dan adakah mereka atau pasangan menggunakan kondom,” katanya lagi.

Memetik laman itu lagi, Kalsom memaklumkan beliau sudah memulakan siasatan berhubung perkara itu, manakala Timbalan Menteri Pelajaran, P Kalamanathan enggan memberikan sebarang komen sebelum merujuk jabatan pendidikan negeri. – Roketkini.com
1888679_10203007991023277_917251176_n