Berita

Tampar muka saya untuk dapat ganjaran wang, keterlaluan – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menyifatkan tindakan satu perikatan NGO menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang menampar mukanya adalah tindakan melampau.

“Tawaran keterlaluan ini telah dibuat oleh aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah di Kuala Lumpur, petang tadi.

“Langkah ini kelihatan bertujuan membalas dendam kepada klip video satira politik Tahun Baru Cina yang popular baru-baru ini.

“Menteri UMNO dan pemimpin BN sendiri pasti tidak bersetuju dengan tawaran ini,” katanya dipetik laman sosial Facebook, milik beliau.

Pada perhimpunan di Jalan Tun Perak tadi, Mustafa dengan keras menegaskan bahawa ‘mereka yang sanggup menampar Teresa Kok akan diberikan ganjaran sebanyak RM500’.

Katanya, ganjaran akan diberikan secara tunai kepada anak-anak muda yang berani mempertahankan tanahair. Ia juga akan dikumpulkan NGO Jemaah Islam Malaysia.

Tambah beliau, kempen itu dianjurkan untuk membantah penghinaan kepada kepimpinan Melayu, Yang Di Pertuan Agong, Islam dan maruah Melayu dari ahli politik, pemimpin dan cauvinis Cina.

Ganjaran tersebut dilaporkan telah meningkat menjadi RM1200, menurut portal The Malaysian Insider.

Naib Pengerusi DAP itu juga akan membuat laporan polis terhadap ancaman terbaru ini esok pagi. – Roketkini.com

Gambar Malaysiakini.

Gambar Malaysiakini.