Rencana

ANAK MAMI DI PERANTAUAN – Apa itu cauvinis?

anakmamidiperantauanPAKCIK. Pakcik tahu tak cauvinis tu apa maknanya? Ya, itu perkataan yang pakcik salah eja tu. Ya, pada sepanduk yang pakcik pegang tadi. Yang ada muka beberapa orang Cina yang pakcik benci sangat-sangat dan gelar ‘chauvanis’ tu. Ejaan yang betulnya ‘cauvinis’. Pakcik tahu apa makna perkataan ni?

Ni saya ada kamus. Tapi kamus saya ni dah tak macam kamus yang pakcik guna dululah. Yang tebal tu. Tidak, zaman sekarang kami tak guna lagi kamus tebal-tebal. Kami tekan sahaja menatang ni, ya ini namanya telefon pintar. Zaman sekarang benda-benda canggih ni bersepah-sepah. Nah saya tunjuk cara guna benda ni.

Pakcik cuba tekan ni, ya sentuh sahaja logo tu. Bagus, sekarang kita tulis ‘cauvinis’. Ya, guna ejaan yang betul. Kalau tulis ‘chauvanis’ memang tak ke mana kita. Ok, sekarang dah ada hasil daripada carian kita tadi. Kita nak tahu apa makna perkataan ‘cauvinis’. Supaya kita tak nampak bodoh.

Nah. Ini Wikipedia pakcik. Wikipedia ni macam kamus jugalah, tapi ceritanya panjang sikit tak macam kamus biasa. Ini kalau saya tekan sini boleh kasi tulisannya besar, mudah pakcik baca. Pakcik nak tahu makna perkataan ‘cauvinis’ ni dalam bahasa apa? Semua bahasa ada. Pakcik faham cakap orang puteh? Boleh saja kita baca dulu maksud ‘cauvinis’ dalam bahasa penjajah tu.

“Chauvinism, in its original meaning, is an exaggerated patriotism and a belligerent belief in national superiority and glory.”

Pakcik faham? Kalau tak faham, kita boleh baca definisi guna Bahasa Indonesia. Nak? Nah, tekan sini. Ha, itu dia tafsir ikut Bahasa Indonesia.

“Chauvinism adalah ajaran atau fahaman mengenai cinta tanah air dan bangsa (patriotisme) yang berlebihan”

Dah boleh faham sikit kan? Nak faham lagi, ada juga definisi Bahasa Melayu. Eh zaman sekarang ni dunia dah kenal bahasa kita pakcik. Ni ha ada definisi Bahasa Melayu. Cuba pakcik baca.

“Kepercayaan yang patriotik, berlebihan, dan membuta tuli dalam keunggulan dan keberanian nasional.”

Ya. Itu dia makna cauvinis. Mudah dan tepat. Pakcik faham apa dia maksud “kepercayaan yang patriotik, berlebihan, dan membuta tuli dalam keunggulan dan keberanian nasional” ni?

Ya betul. Macam pakciklah. Rupa-rupanya pakciklah yang cauvinis. Isk isk isk.. – Roketkini.com