Berita

Provokasi perkauman mesti dilawan dengan bahasa keilmuan – Ambiga

KAJANG, 11 FEBRUARI: Mantan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa seluruh rakyat yang mempunyai akal fikiran waras agar menolak sepenuhnya taktik tidak bertanggungjawab segelintir pihak meneruskan persengketaan kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata, penolakan terhadap ketaksuban itu mesti dilakukan secara aman dan berdasarkan tindakan yang rasional selaras dengan legasi tinggalan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Menurut beliau cara terbaik untuk melawan cubaan segelintir yang cuba memecahbelah keharmonian kini adalah ‘jika mereka bercakap dalam bahasa perkauman, kita harus menjawab dengan bahasa perpaduan dan kebersamaan.’

“Apabila mereka bercakap dalam bahasa kejahilan, kita jawab dengan bahasa keilmuan. Kejahilan perlu direspon dengan cara berilmu,” ujarnya.

“Mesej ini mesti disampaikan dengan kuat dan jelas, lebih kerap mereka cuba memisah dan memecah belah, kita perlu lebih bersatu. Inilah apa yang diimpikan Tunku untuk negara ini,” katanya dalam forum Legasi Tunku Abdul Rahman di Kolej Universiti New Era, Kajang, semalam.

Beliau yang juga seorang Peguam turut mengingatkan rakyat agar tidak termakan dengan provokasi melampau beberapa kumpulan yang dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

“Kita harus serahkan negara ini kepada generasi akan datang dengan sesuatu yang boleh dibanggakan bukannya dengan dakyah perkauman melampau.

“Tidak sesiapa yang boleh menghalau kita dari negara tercinta ini,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mejar Zaidi Ahmad daripada Angkatan Udara Malaysia yang kini berhadapan dengan tujuh pertuduhan akibat mendedahkan penggunaan penipuan dakwat kekal semasa PRU 13 lalu.

“Mejar Zaidi merupakan seorang lelaki yang dihukum kerana bercakap benar dan kita wajar memberi sokongan serta terus berdiri dibelakang beliau,” ujarnya. – Roketkini.com