Berita

Tampar Teresa: Zahid Hamidi macam orang tak sekolah

RAUB, 12 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz menyelar kenyataan tidak bertanggungjawab Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyatakan ugutan kekerasan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim bukanlah satu kesalahan jenayah.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri itu ternyata amat memalukan dan menyerlahkan lagi kegagalannya selaku pemimpin negara.

“Zahid Hamidi menggayakan dirinya seperti orang yang tidak bersekolah apabila menyatakan tawaran untuk menampar Teresa tidak mempunyai asas untuk diambil tindakan oleh pihak polis.

“Masa depan negara kita gelap jika seorang menteri boleh bercakap seperti ini.

“Zahid ni dapat PhD dari mana? Buat sendiri atau upah orang lain siapkan tesis? Ada PhD tapi bercakap macam orang kurang akal,” katanya.

Katanya, jika Zahid memahami undang-undang jenayah, beliau sepatutnya mengambil pendekatan tegas dan tidak bertolak ansur dengan mengarahkan polis bertindak segera.

“Ancaman serta ugutan untuk mengasari seseorang secara fizikal adalah suatu jenayah kerana ia telah meletakkan individu itu dalam keadaan cemas, itulah kesan yang sedang dihadapi Teresa.

“Undang-undang jenayah bukanlah perkara peribadi antara dua individu, ia adalah satu aksi antara pemerintah dengan pesalah.

“Kecuali Menteri Dalam Negeri yang kurang cerdik ini menganggap semua puak-puak yang membuat ancaman itu adalah sahabat dan rakannya,” ujarnya.

Sehubungan itu tegasnya, jalan terbaik kini adalah mengarahkan pihak berkuasa segera melakukan siasatan dan menangkap mereka yang terbabit secepat mungkin sebelum keadaan bertambah parah.

“Setiap individu bebas untuk tidak menyukai klip video itu tetapi ia tidak memberikan alasan supaya dapat berlagak dan bertindak seperti samseng,” kesalnya. -Roketkini.com