Berita

Banjir Sabah: DAP minta kerajaan ambil langkah pencegahan segera

KOTA KINABALU, 17 FEBRUARI: DAP menggesa kerajaan supaya segera mencari jalan dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah banjir kilat di Sabah yang semakin teruk.

ADUN DAP Likas, Junz Wong berkata, tanpa langkah efektif, nasib dan keselamatan rakyat akan terus terancam.

“Masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin dengan perancangan menyeluruh daripada badan profesional bagi mengkaji dan meneliti implementasi pelan tindakan.

“Jawatankuasa penyelamat profesional juga harus ditubuhkan dan sentiasa bersedia dengan kelengkapan termasuk pusat penempatan banjir di setiap kawasan.

“Langkah jangka pendek ini hanya membabitkan kos yang kecil dan ia sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mangsa banjir terbela kerana mereka sendiri (kerajaan) gagal menghalangnya daripada terus berlaku,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Penolong Setiausaha DAP Sabah itu juga menegaskan, kerajaan tidak ada sebab memandang sebelah mata masalah serius ini dan mengabaikan cadangan yang diberi.

“Kerajaan Sabah mencatat satu rekod bersejarah kerana memperoleh peruntukan bajet negeri lebih RM6 bilion, tapi mengapa tidak diadakan segera mesyuarat tergempar untuk merancang dan meletakkan keutamaan semula dalam rangka memerangi masalah banjir?

“Sabah memerlukan penyelesaian konkrit dan usaha berterusan menangani masalah ini mulai sekarang. Tidak ada siapa boleh memandang mudah kerana perkara ini memerlukan azam politik yang jujur,” ujarnya.

Dilaporkan jumlah mangsa banjir sehingga pagi ini meningkat kepada 2,391 orang berbanding 2,250 pagi semalam di Beaufort.

Banjir Jumaat lalu itu turut mengakibatkan hasil pertanian musnah, ratusan rumah ditenggelami air setinggi tiga meter serta beberapa nyawa terkorban di Keningau dan Tenom.-Roketkini.com