Berita

ADUN DAP Mentakab sumbang bantuan kepada Sekolah Maahad

KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI: DAP Pahang bersimpati dan melahirkan keprihatinan mereka menyampaikan bantuan kepada Sekolah Maahad Tahfiz Muhammadi di Pahang yang terbakar, Khamis lalu.

Sumbangan kemanusiaan dalam berbentuk makanan dan kewangan itu disampaikan Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Dilaporkan, ketika kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, semua pelajar sekolah itu dan Pengetuanya, Tengku Muhammad Tengku Jaafar sedang mengikuti program lain di Balai Islam Darul Salam, Permatang Badak.

Kebakaran menyebabkan tingkat atas bangunan sekolah dua tingkat itu hangus termasuk memusnahkan barangan peribadi pelajar terbabit.

Seramai 18 pelajar sekolah itu kini tinggal sehelai sepinggang kerana bangunan madrasah yang menempatkan asrama mereka turut musnah.

Namun tenaga pengajar lain termasuk isteri pengetua dan kakitangan yang berada di sekolah ketika kejadian itu sempat menyelamatkan diri.

Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran kira-kira setengah jam kemudian dan punca sebenar masih disiasat.

Maahad Tahfiz terbabit adalah sekolah khusus di Bukit Rangin yang membiayai anak yatim dan fakir miskin serta tempat pembelajaran untuk Rumah Anak Yatim dan Miskin kelolaan Nisa Pahang.-Roketkini.com