Berita

Anugerah projek jana kuasa kepada 1MDB bukti kerajaan Najib khianati rakyat – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengecam keputusan kerajaan mengutamakan kepentingan syarikat berbanding kepentingan rakyat dalam pengagihan projek jana kuasa, baru-baru ini.

Merujuk laporan The Edge Financial Daily yang menyatakan Suruhanjaya Tenaga memutuskan untuk menganugerahkan 2,000 MW loji jana kuasa arang batu terbaru kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Walaupun tawaran yang dikemukakan 1MDB adalah 25.65 sen setiap KWJ adalah lebih tinggi daripada pembida lain iaitu YTL Power hanya 25.23 sen per KWJ. Perbezaan 0.42 sen setiap KWJ dijangka menyumbang perbezaan sebanyak RM2 bilion sepanjang 25 tahun tempoh konsesi.

“Apa yang lebih membimbangkan daripada dokumen yang didedahkan The Edge ialah kenyataan bahawa ‘Jawatankuasa Penilaian Teknikal SPR mengesyorkan YTL Power sebagai pembida pilihan untuk tender itu pada Disember lalu.

“Ini adalah penghinaan terhadap tender antarabangsa bagi projek kuasa di atas kod nama ‘Projek 3B’,” katanya dalam kenyataan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut menyatakan, dengan memilih tawaran lebih tinggi berbanding paling rendah tapi berkelayakan, kerajaan akan memberi isyarat kepada seluruh dunia bahawa setiap tender yang dijalankan akan memihak untuk pihak tertentu saja seperti 1MDB.

Katanya, kerajaan mesti mengakui kekuatan masa depan tender terbuka di negara ini amat bergantung kepada keyakinan peserta dalam sistem.

“Jika pesaing global kehilangan kepercayaan pada satu tahap sama rata seperti yang dijanjikan pentadbiran Najib, maka Malaysia tidak akan dapat menarik kualiti dan nilai kontraktor terbaik, sekaligus mengakibatkan kehilangan daya saing,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan kerajaan supaya mempertimbangkan kesannya kepada rakyat berhubung keputusan tidak adil itu.

“Kos elektrik tinggi yang perlu dibayar kepada 1MDB oleh Tenaga Nasional Berhad secara semulajadinya akan menyebabkan peningkatan kos elektrik untuk industri dan rakyat biasa.

“Di saat kerajaan melakukan pemotongan subsidi dan mendakwa semuanya untuk mengekalkan kos serendah mungkin, kini sebaliknya berlaku. Ini jelas merupakan pengkhianatan kepada rakyat jika mereka memilih harga elektrik yang tinggi.

“Harga elektrik lebih tinggi juga membuktikan Najib dan Kabinetnya tidak ikhlas meringankan beban rakyat tapi hanya berminat kepada keuntungan sesama sendiri dalam pentadbirannya,” tegasnya. -Roketkini.com