Berita

Ruslan lupa sumber maklumat dakwaan ‘pertemuan rahsia’

KUALA LUMPUR, 19 FEBRUARI: Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim mengaku beliau sudah lupa sumber maklumat yang diperoleh ketika mengeluarkan kenyataan berhubung tuduhan majlis makan malam rahsia Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama pemimpin kanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 2011.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Guan Eng, Americk Singh Sidhu pada hari kedua perbicaraan kes saman fitnah RM15 juta yang difailkan Setiausaha Agung DAP itu terhasap Ruslan dan enam yang lain.

“(Maklumat diperoleh) daripada membaca banyak laman web, tak ingat. Kemudian perbincangan bersama ahli, pimpinan (Perkasa), saya dengar hal itu,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, semalam.

Ruslan juga mengaku tersilap menyebut plaintif mengaku berjumpa dengan pemimpin PAP dan hanya meminta penjelasan.

Americk: Merujuk soalan 3, anda kata plaintiff mengaku hadir mesyuarat sulit dengan PAP. Boleh tunjukkan di mana pengakuan itu?

Ruslan: Sebenarnya, perkara itu kita nak (minta) jelaskan. ‘Pengakuan’ – ada silap sedikit. Cuma jelas ada pertemuan.

Americk: Tetapi mereka sendiri tidak mengaku?

Ruslan: Benar. (Tetapi) ada makan malam yang dihadiri isteri Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong).

Isteri Lee, Ho Ching adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek Holdings, dan bukan ahli, apatah lagi memegang jawatan kanan dalam PAP.

Memetik the Malaysian Insider, Guan Eng bertemu Ho Ching atas kapasiti sebagai CEO Temasek Holdings untuk membincangkan urusan perniagaan membabitkan Singapore Aerospace Manufacturing (SAM) dan badan pelaburan kerajaan Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, Guan Eng juga berkata, beliau tidak mengumumkan pertemuan itu kerana tidak ingin memberi risiko kepada peluang pelaburan itu semata-mata kerana publisiti.

Pada 2 Oktober 2011, Berita Minggu, New Strait Times dan Mingguan Malaysia menyiarkan kenyataan Ruslan bahawa Setiausaha Agung DAP itu membocorkan rahsia negara pada satu majlis makan malam yang turut disertai beberapa pemimpin kanan PAP.

Guan Eng dalam kenyataan tuntutannya menyifatkan kenyataan itu berniat jahat untuk merosakkan imejnya. Beliau juga menafikan adanya pertemuan seperti yang didakwa.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menangguhkan perbicaraan pada 23 April ini. -Roketkini.com