Berita

KPN perlu henti cakap besar, segera bertindak – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta berhenti berlagak dan bercakap besar, sebaliknya mula bertindak terhadap anasir tidak bertanggungjawab yang mahu mencetuskan konflik kaum dan agama.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga mempertikaikan kenyataan Khalid berhubung kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 terhadap pihak bersuara mengenai isu agama, namun diam terhadap kumpulan NGO yang menggelarkan diri mereka Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia.

“Kenapa Khalid bercakap untuk menggunakan undang-undang, termasuk SOSMA, sedangkan polis belum hantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa kumpulan NGO yang mengadakan demonstrasi ‘sembelih ayam dan tampar Teresa’ yang melakukan intimidasi jenayah dan mengugut pengulangan ‘13 Mei’?” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Khalid memberi amaran bahawa SOSMA boleh digunakan terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu kaum dan agama yang kononnya boleh mengancam keselamatan negara.

Akta yang diluluskan bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu membenarkan tahanan selama 28 hari untuk siasatan tanpa perlu mendapat arahan reman daripada majistret.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata lagi, layanan itu ternyata berbeza dengan isu ‘Onederful Malaysia, apabila telah menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara, 14 Februari lalu.

“Siapakah yang dimaksudkan Khalid, ketika beri amaran akan gunakan SOSMA?” katanya lagi.

Katanya lagi, ini kerana beliau terkejut apabila Khalid menyifatkan klip video itu sebagai sebahagian daripada ‘kempen kebencian’ untuk mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.

Walaupun banyak laporan polis dibuat, masih belum ada sebarang tangkapan terhadap pihak yang menawar insentif kepada sesiapa yang menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim. Malah, tawaran yang pada asalnya berjumlah RM1,200 telah dinaikkan kepada RM2,000.

Katanya lagi, Khalid menunjukkan sikap berat sebelah dan tidak professional ketika membuat dakwaan itu, pada masa sama terus membisu kepada pihak yang menuduh video itu sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

“Bilakah beliau akan ingat kembali ikrarnya (ketika dilantik menjadi KPN) dan mula bertindak professional dan bertindak tegas terhadap pihak yang cetuskan kebencian kaum dan agama, terutama ‘Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia’ dan Utusan Malaysia?” katanya lagi. -Roketkini.com