Berita

1MDB perlu jelaskan pengunduran KPMG sebagai juruaudit luar – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu menjelaskan penarikan mengejut KPMG sebagai juruaudit luar badan pelaburan itu, walaupun sudah berkhidmat sejak mula ditubuhkan.

Beliau membayangkan kemungkinan ia berpunca daripada tindakan KPMG membangkitkan mengenai pelaburan dalam kerjasama (JV) misteri 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd bernilai lebih RM3.29 bilion, dalam penyata kewangan pertama badan itu pada 2010.

Katanya, penyata seterusnya kemudian menunjukkan tambahan pinjaman RM2.3 bilion daripada 1MDB kepada JV itu, walaupun menerima faedah rendah iaitu kira-kira RM600 juta antara 2011 – 2012.

“Melalui beberapa siri manipulasi kewangan, pinjaman itu digugurkan. Namun, bayaran semula RM7.93 bilion dibuat dengan cara membingungkan iaitu menerusi portfolio pelaburan yang berpengkalan di Pulau Cayman.

“Sehingga kini, tiada siapa yang dapat sahkan dengan tepat siapakah pengurus portfolio pelaburan itu, prestasi dana itu atau adakah wang itu benar-benar wujud,” katanya dalam satu kenyataan.

Pulau Cayman terkenal dengan reputasinya yang digunakan bagi urusniaga rahsia kerana undang-undangnya yang melindungi urus niaga seperti itu.

Sehubungan itu, katanya lagi, 1MDB perlu beri penjelasan terperinci dengan segera mengenai hal itu, selaras dengan seruan ketelusan dan transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Paling penting, 1MDB perlu buangkan sebarang prasangka bahawa penarikan juruaudit antarabangsa, KPMG disebabkan sejumlah RM7.93 bilion dalam portfolio pelaburan di Pulau Cayman, yang terkenal sebagai syurga cukai kepada wang haram seluruh dunia.

“Jika 1MDB gagal memberikan jawapan memuaskan tentang skandal ini, rakyat Malaysia berkemungkinan menyaksikan satu skandal kewangan terbesar negara, yang menjadikan malapetaka Zon Bebas Pelabuhan Klang seperti tiada apa-apa,” katanya lagi.

1MDB tiada penyata kewangan terbaru

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut mempersoalkan ketiadaan penyata kewangan bagi tahun kewangannya yang berakhir pada Mac 2013.

“Semalam, ketika saya periksa di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), belum ada penyata terbaru. Penyata terakhir bertarikh 31 Mac 2012.

“Cukup mengejutkan dan menimbulkan prasangka apabila badan berbilion ringgit milik penuh Kementerian Kewangan gagal mengeluarkan penyata kewangan yang diaudit selepas lebih setahun,” katanya.

Katanya, 1MDB juga melanggar Akta Syarikat 1965 kerana gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan serta memfailkan Pulangan Tahunan kepada SSM bersama-sama Laporan Kewangan yang diaudit pada tempoh masa ditetapkan.

“Ia salah mengikut Seksyen 169(1) akta itu. Mengikut Seksyen 171(1) pula, penjara lima tahun atau denda RM30,000 boleh dikenakan jika ‘mana-mana pengarah syarikat gagal mengambil langkah munasabah untuk memastikan ia dipenuhi,” katanya lagi. -Roketkini.com