Berita

Perkasa segera DUN Johor, usah jadi sekadar ‘rubber stamp’

JOHOR BAHRU, 20 FEBRUARI: Pakatan Rakyat (PR) Johor mendesak kerajaan negeri memperkasakan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar tidak dilihat sebagai cop getah (rubber stamp) tetapi platform memastikan setiap dasar dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pesuruhjaya PAS Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong dalam kenyataan bersama mereka menegaskan, pemerkasaan DUN perlu dilakukan berikutan fungsi serta peranannya kini semakin terhakis sehingga dilihat sebagai cop getah badan eksekutif atau kerajaan.

“Kita perlu sedar bahawa DUN Johor adalah dewan pertama dan paling bersejarah di negara ini iaitu lebih lama daripada Parlimen.

“Maka ia harus menjadi model kepada DUN lain dan lebih ke hadapan supaya terus menjadi Dewan terulung di negara ini.

“Jadi usaha memperkasakannya adalah begitu penting dan harus dimulakan secepat mungkin,” kata mereka.

Sehubungan itu, PR Johor turut mengulangi gesaan mereka agar pengiktirafan diberi terhadap kedudukan ketua pembangkang sebagai langkah pertama memperkasakan DUN.

“Pengiktirafan rasmi terhadap kedudukan Ketua Pembangkang dalam DUN harus dilakukan dengan menyediakan kemudahan sewajarnya supaya ia tidak dianggap sekadar hiasan,” ujarnya.

PR Johor turut mengecam dakwaan bahawa pengiktirafan itu sukar dilakukan kerana ia membabitkan proses pindaan Undang-undang Tubuh Negeri yang memerlukan sekurang-kurang dua pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kami melihat perkara ini langsung tidak menjadi suatu isu di mana ADUN BN seramai 38 orang memenuhi had minimum untuk membuat pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Semua 18 ADUN PR bersedia menyokong pindaan itu. Jadi, tiada alasan bagi pihak kerajaan menolak cadangan itu dan enggan mengiktirafkan kedudukan Ketua Pembangkang mengikut tradisi berparlimen Westminister,” tegasnya.

Pada masa sama, PR Johor turut menyarankan masa persidangan DUN dipanjangkan supaya pelbagai isu penting dapat dibahaskan untuk kepentingan rakyat.

Jelasnya, persidangan satu hari hanya beberapa jam ternyata tidak dapat mengoptimumkan fungsi dan peranan DUN sebagai badan perundangan untuk menyemak dan mengimbangi badan eksekutif.

“Hal ini jelas kelihatan apabila DUN meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan secara tergesa-gesa tanpa melalui perbahasan.

“Beberapa isu baru-baru ini seperti pemindahan perkampungan Orang Asli di Gunung Arong, Mersing, projek penambakan laut di perairan Tanjung Kupang, peristiwa kematian misteri puluhan ribu ikan di perairan Tanjung Kupang dan lainnya juga tidak dapat dibahaskan dalam DUN.

“Persidangan satu hari jelas memberi gambaran bahawa ia hanya diadakan semata-mata untuk bersidang bagi memenuhi kehendak teknikal sahaja, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan dan Perintah Tetap,” ujarnya. -Roketkini.com