Berita

Kerajaan negeri anggap laporan tiga lelaki ditahan edar Bible versi BM mengelirukan: Exco Agama Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 20 FEBRUARI: Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim menganggap laporan berhubung penahanan tiga lelaki yang mengedarkan Bible Bahasa Melayu di sebuah sekolah di negeri ini mengelirukan dan timbul tanda tanya.

Beliau berkata, ia berikutan tiada laporan polis dibuat oleh pihak terbabit berhubung perkara itu.

“Senior Asisten Komisioner, Mazlan Kesah mendakwa polis tidak menerima suspek yang ditahan mana-mana pihak berhubung kes itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, menurut Abdul Malik, keraguan semakin bertambah apabila pihak terbabit juga enggan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang menyiasat insiden itu.

Sinar Harian 16 Februari lalu melaporkan kenyataan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin, Nor Amin Ahmad berhubung penangkapan tiga lelaki yang mengedar Bible Bahasa Melayu kepada pelajar sekolah itu.

Dua hari kemudian, JHEAIPP dilaporkan tidak mendapat kerjasama sekolah itu apabila pergi untuk menyiasat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung itu berkata lagi, siasatan mendapati isu itu dimulakan laman Facebook Nor Amin, sebelum dihubungi wartawan untuk maklumat lanjut.

“Wartawan menghidu kisah itu dalam laman Facebook Nor Amin. Nor Amin kemudian mengaku kepada wartawan itu, beliau cuma dengar kisah itu daripada seorang ‘guru misteri’, yang kini sedang dicari polis.

“Tinjauan kami mendapati Nor Amin sudah padamkan kisah itu daripada laman Facebooknya,” katanya yang turut memaklumkan Nor Amin difahamkan memiliki kecenderungan politik berbeza dengan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak terbabit memberi kerjasama dan tampil mengemukakan bukti dan laporan agar pihak berkuasa dapat menyiasat.

Peristiwa itu disyaki sebagai satu lagi perbuatan pihak tertentu untuk menimbulkan konflik kaum dan agama di negeri ini, selain serangan ‘molotov cocktail’ dan penggantungan pemidang provokasi tentang isu ‘kalimah Allah’ di beberapa gereja. -Roketkini.com