Berita

Karpal terima keputusan mahkamah, akan fail rayuan

KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh bersalah atas tuduhan menghasut berhubung kenyataannya mengenai tentang krisis kerajaan negeri Perak lima tahun lalu.

Keputusan itu disampaikan Hakim mahkamah itu, Datuk Azman Abdullah, pagi tadi.

Azman dalam kenyataan penghakimannya berkata, pihak tertuduh gagal menunjukkan sebarang keraguan munasabah terhadap hujah pendakwaan.

“Mahkamah selepas meneliti seluruh kenyataan pembelaan dan pendakwaan serta kenyataan saksi dan memutuskan pihak tertuduh gagal menimbulkan keraguan terhadap pendakwaan itu,” katanya.

Beliau kemudian menetapkan 7 Mac ini untuk menentukan hukuman dan mitigasi bagi pengurangan hukuman.

Tarikh itu ditetapkan bagi memberi masa kepada pihak pembelaan menyediakan laporan kesihatan Karpal.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 berikutan kenyataannya pada 6 Februari 2009, bahawa menurut Perlembagaan Persekutuan, pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan mahkamah.

Pada 11 Jun 2010, Mahkamah Tinggi membebaskan beliau daripada pertuduhan itu.

Namun, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan itu pada 20 Januari 2012 selepas rayuan pendakwaan dan memerintahkan Karpal membela diri.

Karpal ketika ditemui selepas itu berkata, beliau menghormarti kuasa hakim dan menerima keputusan itu.

“Itu adalah hak hakim. Saya menerima keputusan itu dan akan kemukakan rayuan. Ini bukan kali pertama saya didapati bersalah,” kata ahli politik veteran itu.

Kira-kira 20 penyokong hadir memberi sokongan serta menyambut ketibaan beliau di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah, Jalan Duta.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta beberapa Ahli Parlimen DAP.-Roketkini.com